Penaja bimbang saingan Liga M tidak lengkap

Kuala Lumpur: Jika perlawanan Liga Malaysia (Liga M) berkurangan atau terpaksa ditunda boleh dikatakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal menghadapi ‘bala’ berikutan berhadapan penarikan diri penaja atau lebih buruk lagi perlu membayar ganti rugi kepada mereka.

Perkara terbabit kini menjadi kebimbangan MFL memandangkan kes Covid-19 semakin tinggi sekali gus ada khabar angin mengatakan saingan Liga M terpaksa ditunda atau jumlah perlawanan dikurangkan kelak.


Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pengurangan jumlah perlawanan Liga M menyebabkan pihaknya terpaksa mengadakan perbincangan bersama pihak penaja.

Beliau berkata, situasi berkenaan cukup membimbangkan kerana ketika ini sudah ada ‘bunyi’ pihak penaja mahu menarik diri jika saingan Liga M tidak boleh berlangsung seperti yang dirancang.

“Mereka (penaja) memahami situasi semasa dengan perlawanan tidak dapat berlangsung dalam kehadiran penonton kerana kita mempunyai platform lain yang mendapat sambutan begitu menggalakkan.





“Cuma kebimbangan ketika ini adalah jika perlawanan Liga M ditunda atau berkurangan mungkin akan menjejaskan jumlah penajaan sekali gus kita tidak menolak kemungkinan perlu membayar ganti rugi.

“Oleh itu, MFL sememangnya mengharapkan saingan Liga M dapat dilaksanakan seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, saingan liga domestik tetap akan diteruskan pada 24 Julai ini meskipun negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri ketika ini.




Malah, beberapa pindaan terhadap jadual Liga M juga menggembirakan pasukan bertanding yang mengakui jadual terbaru yang dikeluarkan MFL cukup baik.

Namun, di sebalik kegembiraan itu timbul kegusaran semua pihak terutama MFL apabila peningkatan kes hingga mencecah lima angka memberi bayangan saingan Liga M terpaksa ditunda atau dikurangkan jumlah perlawanan.

Jika situasi terbabit berlaku kemungkinan MFL termasuk pasukan Liga M akan kehilangan penajaan seterusnya kantung masing-masing bertambah tenat untuk mengharungi saingan akan datang.