Hernan catat kesemua jaringan Messi

BARCELONA: Lionel Messi merakamkan ucapan istimewa buat peminat setianya, Don Hernan yang berusia 100 tahun selepas mengetahui warga emas Sepanyol itu mencatat kesemua jaringannya di atas kertas.

Semua statistik dan pencapaian hebat Messi boleh didapati dengan mudah di internet tetapi Hernan memilih untuk merekodkannya dengan cara lama.



Buku rekod Hernan yang mengandungi butiran setiap gol Messi menjadi tular di media sosial selepas didedahkan cucunya Julian Mastrangelo.

Hernan merekodkan setiap gol pemain 34 tahun itu untuk kelab dan negaranya Argentina, dan sentiasa bertanya kepada cucunya jika dia terlepas menyaksikan perlawanan membabitkan Messi.





Selepas kemenangan Argentina di final Copa America menentang Brazil, Messi merakamkan ucapan buat peminat nombor satunya itu.

“Hello Hernan. Cerita anda sampai ke pengetahuan saya. Cukup luar biasa anda merekodkan setiap jaringan saya dan atas usaha anda itu, saya ingin mengucapkan terima kasih. Teruskan usaha anda,” kata Messi.





Selepas melihat ucapan Messi Hernan berkata: “Saya sentiasa mengikuti anda dan saya akan terus mengikut anda. Sehingga akhir, saya akan berjalan di belakang anda.” – AGENSI