Mourinho guna dron pantau latihan

ROME: Jose Mourinho akan memantau pemainnya dengan begitu rapat di Roma – menerusi penggunaan dron di padang latihan.

Beberapa perubahan dilakukan dalam kem latihan Giallorossi di Trigoria seperti yang didedahkan pasukan itu menerusi satu klip video.



Dron akan diterbangkan sepanjang sesi latihan untuk mendapatkan maklumat mengenai posisi, pergerakan dan reaksi setiap pemain.

Pemain Roma tidak perlu menunggu lama untuk mengetahui kesilapan yang dilakukan.

Ini kerana skrin gergasi turut dipasang bersebelahan padang bagi membolehkan Mourinho memberikan analisis segera mengenai rutin latihan yang dilakukan.





Sebelum ini, jurulatih dari Portugal itu dikritik ketika mengendalikan Tottenham kerana menerapkan cara latihan yang begitu asas.

Menerusi laporan The Independent pada Februari lalu, dia hanya fokus kepada organisasi pertahanan, situasi bola mati, bola kedua dan serangan secara terus ketika sesi latihan di London.

Mourinho juga mahu memperkuat skuadnya menjelang musim baharu apabila menjadikan Rui Patricio sebagai pemain pertamanya.





Mereka juga sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka selain turut menyasarkan Alex Telles (Manchester United) dan Emerson Palmieri (Chelsea).

Roma menang kedua-dua aksi persahabatan setakat ini dengan berkenduri gol 10-0 ke atas pasukan Serie D, Montecatini dan menewaskan Ternana 2-0, kelmarin. -Agensi