JDT, Aston Martin Racing Asia jalin kerjasama

JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan jenama terkemuka dunia, Aston Martin Racing Asia mengumumkan jalinan kerjasama yang akan mengukuhkan lagi jenama skuad Harimau Selatan sebagai peneraju bola sepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan Aston Martin diberi hak untuk mengeluarkan rekaan edisi terhad bertema JDT untuk rangkaian kereta jenis Aston Martin yang akan dijual oleh kelab terbabit.


“JDT amat berbangga dan gembira dapat mencapai persetujuan dengan ibu pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom dan pejabat Asia,” kata kenyataan kelab selepas majlis pemeteraian kerjasama itu di ibu pejabat JDT di Iskandar Puteri, petang tadi.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang.”





“JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan,”.

Dengan termeterai kerjasama itu, JDT membuktikan kredibiliti sebagai sebuah pasukan bertaraf kelab di Asia Tenggara yang berjaya memikat jenama antarabangsa seperti Aston Martin Racing, Unicef, Nike, Hublot, Subway dan SWAG EV.





Kerjasama dengan jenama bertaraf antarabangsa itu menunjukkan peningkatan jenama kelab yang hebat dan kukuh sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa sejak JDT ditubuhkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menerusi transformasi pada 2013.