[VIDEO] KUFC ‘gantung’ Gassama, Zafuan

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Kelantan United (KUFC) menghantar pulang dua pemain mereka, Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman yang terbabit dalam insiden pergaduhan sesama sendiri sejurus selepas aksi berdepan Perak FC II, semalam.

KUFC dalam kenyataan di Facebook mereka hari ini, menjelaskan dua pemain itu tidak akan bersama pasukan ke Larkin untuk aksi berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ahad ini.

Kelab itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi berkaitan disiplin jurulatih, pegawai atau pemain yang membelakangi semangat kesukanan.



“Kami akan menyiasat dengan segera dua insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas jika pemain terbabit didapati melanggar prinsip ‘Fair Play’.

“Justeru, atas insiden terbabit, pihak kelab sudah mengambil tindakan drastik dengan menghantar pulang dua pemain terbabit ke Kota Bharu selepas perlawanan.

“Pihak kelab juga turut mengambil maklum berkenaan kad merah yang dilayangkan kepada pemain gantian, Asraff Alifuddin.





“Oleh kerana pihak kelab dan pasukan kini sedang memberi fokus kepada perlawanan ketiga dalam masa tujuh hari di laman lawan menentang JDT II, siasatan penuh insiden dan tindakan yang akan diambil terhadap pemain itu akan dilakukan sekembalinya ke Kota Bharu,” katanya.

Dalam aksi yang berkesudahan KUFC menewaskan Perak II 4-0, Gassama dilayangkan kad merah selepas dilihat bergaduh dengan rakan sepasukannya, Zafuan sebaik pengadil meniup wisel penamat.





Selain itu, KUFC turut memohon maaf atas tindakan tidak profesional pemain mereka hingga menimbulkan rasa kurang senang penyokong dan peminat bola sepak Kelantan.

Kelab itu berjanji akan menangani insiden terbabit dengan langkah terbaik untuk mengelakkan daripada berlaku lagi pada masa hadapan.