EPL

Lapan bintang EPL ‘digantung’ lima hari

LONDON – Beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal terjejas menjelang perlawanan hujung minggu ini selepas pemain-pemain Brazil tidak dibenarkan untuk beraksi atas desakan Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF).

CBF akan menggunakan ‘peraturan lima hari’ yang diper­kenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas pemain-pemain tersebut tidak melaporkan diri untuk kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Amerika Selatan bulan ini.



Peraturan itu akan menyebabkan pemain-pemain tersebut tidak boleh bermain dalam tempoh lima hari selepas perlawanan terakhir aksi kelayakan Piala Dunia 2022 sekali gus terlepas saingan minggu keempat EPL bermula malam esok.

Liverpool antara pasukan terkesan teruk apabila bakal kehilangan khidmat tiga pemain utama iaitu Alisson Becker, Fabinho dan Roberto Firmino, manakala Manchester City pula ‘tempang’ tanpa Ederson serta Gabriel Jesus.





Chelsea dan Manchester United turut menerima tempias sama apabila terpaksa melupakan khidmat Thiago Silva serta Fred selain Leeds United yang bakal kehilangan Raphinha untuk perlawanan minggu ini.

Bukan hanya saingan EPL, malah mereka juga bakal terlepas perlawanan pertama dalam sai­ngan Liga Juara-Juara yang akan membuka tirainya pada 15 September ini.





Bagaimanapun, Richarlison lebih bernasib baik apabila dikecualikan daripada hukuman tersebut kerana CBF mempunyai hubungan baik dengan Everton yang membenarkan penyerang itu beraksi bersama Brazil pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain CBF, beberapa persa­tuan bola sepak lain antaranya Mexico, Chile dan Paraguay juga dikatakan bersedia mengambil langkah sama sekali gus bakal memberi kesan terhadap pa­sukan-pasukan EPL yang lain. – AGENSI