Jiwa saya masih lagi di padang – Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR: Masih memiliki jiwa yang kuat untuk berada di padang menjadi faktor utama Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Pegawai Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mulai kelmarin.



Peletakan jawatan Kim Swee disahkan FAM dengan bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu.

Bagi Kim Swee, beliau juga mahu mencabar diri sendiri untuk mendapatkan kejayaan bersama pasukan kelab pula selepas banyak mengecapi kejayaan dan pengalaman dalam skuad kebangsaan.

Mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan itu, Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember ini, menjelaskan jawatan pegawai teknikal memberinya banyak pengalaman yang berguna walaupun kira-kira lapan bulan memikul tugas itu.





“Bagi saya kepuasan itu penting. Bukan saya tak dapat menjalankan tugas sebagai pengarah teknikal, jangan salah faham. Saya belajar banyak perkara dan pada masa yang sama seperti saya katakan, jiwa saya masih lagi di padang.

“Apabila mendapat tawaran dari Sabah dan selepas berbincang dengan pihak pengurusan serta mendengar visi mereka, saya tak fikir banyak. Malah, Sabah pun sebahagian dari saya juga dan isteri saya pun orang Sabah.

“Saya pun pernah bermain untuk Sabah dan pernah menjuarai liga dan Piala FA bersama Sabah. Jadi, saya harap dapat mengulangi pencapaian itu dengan pasukan Sabah,” katanya.





Kim Swee mengikat kontrak selama dua tahun bersama Sabah dan akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Oktober ini.

Beliau yang menghabiskan masa selama 14 tahun bersama FAM turut berterima kasih kepada FAM dan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Bukan senang untuk saya buat keputusan ini. Bagi saya suka dan sedih pun ada sebab sudah lama bersama FAM. Tak banyak masalah yang saya lalui termasuk bersama empat presiden FAM dan lima setiausaha agung, semua memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Kelmarin, Sabah FC turut mengumumkan pelantikan Kim Swee sebagai pembimbing baharu atas pengalaman luasnya di pelbagai peringkat bagi menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan pada 29 Ogos lalu, susulan kemerosotan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super.