Gol Ronaldo gagal bantu Man United

Manchester United, namun jaringannya gagal menghalang Red Devils daripada tumbang 1-2 kepada kelab Switzerland, Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Beraksi dengan 10 pemain selepas Aaron Wan-Bissaka dibuang padang pada hujung babak pertama kerana melakukan terjahan bahaya terhadap Christopher Martins merubah momentum United.



Red Devils bermula baik selepas Ronaldo membuka jaringan seawal minit ke-13, iaitu gol ketiganya buat United dalam penampilan semula bersama pasukan.

Bagaimanapun kehilangan seorang pemain menyebabkan United gagal meneruskan rentak baik, terutama pada separuh masa kedua yang menyaksikan tuan rumah mula menggandakan asakan.

Young Boys berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Moumi Ngamaleu pada minit ke-66.





Ketika permainan seakan bakal berakhir dengan seri, pemain gantian, Jordan Siebatcheu menghadiahkan kemenangan berharga buat pasukannya apabila meledak gol kedua tuan rumah, lima minit memasuki waktu kecederaan.

“Buat kelab yang hanya menjadi tajuk utama selama satu atau dua hari di Eropah, berjaya menewaskan Manchester United, antara pasukan gergasi, ia sangat istimewa,” kata jurulatih Young Boys, David Wagner.





Kalah kepada Young Boys, pasukan yang dianggap paling mudah dalam Kumpulan F, permulaan buruk buat pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer kerana dua lagi pencabar yang bakal ditentang selepas ini jauh lebih sukar, Atalanta dan Villarreal.

“Kami bermain bola sepak di peringkat tertinggi. Kurang tumpuan dan satu kesilapan akan menyebabkan anda dihukum,” kata Solskjaer.

Ronaldo, 36, sekurang-kurangnya berjaya memperbaiki rekod dalam Liga Juara-Juara dengan meledak 135 gol dalam kejohanan elit Eropah itu, 15 gol mengatasi musuh ketatnya, Lionel messi.