De Paula kekal, Sumareh dan Liridon gugur

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi, Guilherme De Paula tersenarai dalam 24 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 1 Oktober ini bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020.

Bagaimanapun, nama dua lagi pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi tiada dalam senarai yang diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.


Selain mereka, beberapa tonggak sebelum ini termasuk penjaga gol, Farizal Marlias disamping Safawi Rasid, La’Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies turut tidak dipanggil ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Ia menyaksikan Cheng Heo hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu ketika menghadapi perlawanan Kumpulan G saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand di Dubai.

Mereka terdiri daripada ketua pasukan Aidil Zafuan Abd Radzak, Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan De Paula.




Ketiadaan baki 14 pemain lain yang tidak dipanggil kali ini diisi enam muka baharu yang mahu diuji Cheng Hoe iaitu penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi selain Quentin Cheng, Al Hafiz Harun, Sharul Nazeem Zulpakar, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Hakimi Abdullah.

Selain itu, bekas pengendali Kedah berkenaan juga memanggil semula enam pemain yang pernah dipanggil sebelum ini termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol Bakhtiar, Arif Fadzilah Abu Bakar, Faisal Halim, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.





“Skuad Harimau Malaya akan melapor diri di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2021 sebelum berlepas ke Amman pada 2 Oktober 2021 bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa tier 1 bertemu Jordan (6 Oktober) dan Uzbekistan (9 Oktober) yang berlangsung dalam tempoh jendela perlawanan antarabangsa,” kata FAM dalam kenyataan itu lagi.

“Dua perlawanan ini adalah medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya pusingan ketiga, kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan,”.