[VIDEO] Man United malu besar di Old Trafford

Manchester: Bruno Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika Aston Villa menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford sekali gus menafikan Red Devils untuk mendominasi tangga teratas Liga Perdana.



Pemain tengah Portugal itu menyaksikan sepakan penaltinya minit ke-93 tinggi melewati palang gol Villa selepas Kortney Hause menanduk masuk gol untuk Villa.

Ia sekali gus menyaksikan Villa meraih kemenangan pertama mereka ke atas United sejak Disember 2009.




United gagal mengutip mata buat kali pertama musim ini di sebalik mempunyai jentera serangan hebat dibarisi Cristiano Ronaldo, Fernandes, Paul Pogba dan Mason Greenwood.

Khidmat Jadon Sancho, Anthony Martial dan Jesse Lingard yang membantu meraih kemenangan ke atas West Ham minggu lalu, tidak digunakan kali ini.





Manakala Edinson Cavani hanya dimasukkan ketika permainan berbaki lapan minit.

United sudah tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka disemua pertandingan selepas tersingkir di Piala Liga dan bolos lewat permainan ketika tewas mengejut di tangan Young Boys pada saingan Liga Juara-Juara.

Pasukan pelawat mensia-siakan beberapa peluang terbaik untuk meledak gol namun akhirnya meraih gol yang dinanti-nantikan di babak akhir.