Main bagus tapi kalah tak guna – Dollah

PETALING JAYA: Pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh kecewa dengan ketumpulan serangan yang menyaksikan Tok Gajah tunduk 1-3 kepada Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi Piala Malaysia kelmarin.

Beliau terkejut kerana jentera serangan menunjukkan prestasi positif pada sesi latihan tetapi gagal mempamer taring dalam perlawanan sebenar.




Melepaskan tiga gol mudah turut melunturkan semangat pemainnya.

“Saya tidak sangka kita serba tidak menjadi terutama di bahagian serangan. Dalam latihan dua minggu lepas nampak berbeza tetapi pada hari perlawanan kita tidak dapat membuktikan.





“Sebab itu saya sangat kecewa. Di awal perlawanan kita dapat satu peluang dan jika dapat gol mungkin ia akan mengubah keputusan.

“Kita melepaskan gol-gol mudah daripada gol pertama, kedua dan ketiga. Itu buat prestasi pemain menurun dan hampa.

“Kita main cantik macam mana pun tapi masih tidak menjaringkan gol.





“Setakat kita menyerang tanpa menjaringkan gol tiada makna dan saya sendiri ada cakap kepada barisan kejurulatihan.

“Berbanding pemain KL, mereka nampak lebih disiplin dan mantap di semua bahagian,” katanya.

Kekalahan meletakkan Sri Pahang di tangga tercorot Kumpulan A dan akan menentang Sarawak United esok.