Saya tak boleh puaskan hati semua orang – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa beliau tidak boleh memuaskan hati semua orang terutama dalam pemilihan pemain untuk mewakili Harimau Malaya.

Bekas pengendali Kedah itu menjelaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah untuk menjalankan tugas sebaik mungkin dalam memastikan pasukan kebangsaan berada pada tahap terbaik.



“Saya rasa jurulatih terbaik dunia pun, kalau dia panggil mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan akan ada penyokong atau netizen yang bagi komen negatif.

“Jadi, tugas kami adalah untuk membentuk pasukan terbaik bagi masa depan dan juga mendapatkan keputusan positif setiap kali kita ada perlawanan persahabatan atau pertandingan.

“Kita fokus tugas kita saja. Kita tak boleh terlalu memikirkan pandangan orang, sudah pasti kalau benda yang boleh berikan impak positif, kita terima.

“Tapi sekiranya yang tak logik, sukar juga untuk kita terima. Kita bukan nak lawan semua orang, saya pun bukan jenis yang anggap saya saja betul dan orang salah,” katanya kepada BH Sukan.





Selain berdepan cabaran melakukan perancangan terbaik untuk memastikan Harimau Malaya berada pada prestasi terbaik, Cheng Hoe juga dilihat perlu menguatkan mental dalam menghadapi pelbagai kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak.

Apa tidaknya, setiap kali mengumumkan senarai nama pemain yang dipanggil untuk tugasan antarabangsa, ada sahaja kritikan yang diterima terutama apabila keputusan yang diraih tidak memihak kepada Harimau Malaya.





Terbaru, senarai 24 pemain yang dipanggil Cheng Hoe untuk kem latihan pusat dan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan bulan depan turut dipertikai kerana beliau tidak menyenaraikan beberapa pemain utama seperti Safawi Rasid, Farizal Marlias, La’Vere Corbin-Ong, Mohamadou Sumareh dan Matthew Davies.

Malah, Cheng Hoe sudah menegaskan bahawa kem latihan kali ini bagi menguji pemain muda dan pemain yang sudah lama tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan kerana beliau sudah mengetahui kemampuan tonggak seperti Safawi yang sudah biasa bersama Harimau Malaya.

Justeru, agak pelik keputusan Cheng Hoe itu dipertikai sedangkan sebelum ini ramai yang meminta beliau mencuba gandingan baharu dalam skuad kebangsaan khususnya memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda.