PARIS: Ia saat dinanti-nantikan peminat sejak Lionel Messi diperkenalkan sebagai pemain Paris Saint-Germain hampir dua bulan lalu.
Bintang Argentina itu belum menjaringkan gol untuk kelab baharunya itu, dan dia memilih saat paling sesuai untuk membuka akaun jaringan bersama kelab Perancis dalam pertembungan Kumpulan A Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City.
Messi meletakkan PSG 2-0 di depan skuad kendalian Pep Guardiola pada minit ke-74, jaringan dalam kempen Liga Juara-Juara ke-17 berturut-turut dirinya – menyamai rekod Karim Benzema yang dicatat beberapa minit sebelumnya.
Guardiola – yang pernah merakam banyak kejayaan bersama Messi di Barcelona – menganggap bekas anak didiknya itu sukar dihalang.
“Saya biasanya tidak meraikan jaringan, tetapi yang ini saya lakukan. Saya melihatnya menjaringkan banyak gol sebelum ini sebagai pihak lawan, jadi buat pertama kali saya berada di bangku simpanan yang betul dan boleh meraikannya,” kata pengendali PSG Mauricio Pochettino.
Messi turut mengakui yang dia terdesak untuk menjaringkan gol selepas menamatkan karier di Barcelona dengan 672 gol dalam 778 penampilan.
“Memang benar saya semakin terdesak untuk mendapatkan gol pertama,” kata Messi yang tampil buat kali keempat untuk skuad kendalian Pochettino. – AFP