[VIDEO] Sri Pahang mangsa kedua Sarawak United

Shah Alam: Sarawak United membuktikan mereka layak digelar sebagai ‘pembunuh gergasi’ dengan terbaru Sri Pahang pula menjadi mangsa pasukan terbabit yang terpaksa akur tewas 1-0 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Jelas sekali pendatang baru Liga Super itu harus diberi perhatian selepas dua pasukan Liga Super rebah di tangan mereka sekali gus menyaksikan Sarawak United terus mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan A.



Separuh masa pertama menyaksikan skuad kendalian E Elavarasan menguasai perlawanan apabila bijak mengatur serangan ke kubu lawan namun penyudah yang lemah sekali gus menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dicipta.

Skuad Tok Gajah yang sememangnya dahagakan kemenangan selepas tewas kepada Kuala Lumpur City FC pada perlawanan pertama tempoh hari terlepas pula peluang keemasan untuk menjaring gol pada minit 31 apabila tandukan Kenjok Wal Athiu tersasar sekali gus menyaksikan perlawanan separuh masa pertama berkesudahan 0-0.





Separuh masa kedua menyaksikan, E Elavarasan mengubah strategi dengan menerapkan corak permainan agresif dalam mencari gol pembukaan.

Usaha berterusan skuad Sarawak United ternyata berbaloi apabila Tommy Mawat Bada bijak menyudahkan hantaran Sandro Da Silva pada minit 61 untuk tuan rumah mendahului perlawanan.





Walaupun skuad kendalian Dollah Salleh cuba mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan namun peluang terhidang dipersiakan sekali gus kedudukan kekal Sarawak United 1 Sri Pahang 0.