Harap FAM tak ‘gam’ Shahrul Nizam – TFC

Kuala Terengganu: “Kami harap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak ‘gam’ pemain ini ( Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni) untuk mewakili pasukan kebangsaan pada kejohanan akan datang,” jelas sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Sumber itu berkata demikian selepas pertahanan tengah skuad Penyu berusia 23 tahun itu gagal melapor diri dalam kem skuad kebangsaan semalam menyebabkan dia digugurkan daripada skuad Tan Cheng Hoe itu.


“Bagi pihak pengurusan TFC Sdn Bhd, kami mohon maaf kepada FAM ia bukan disengajakan sebaliknya adalah salah faham yang timbul.

“Kami memuji sikap profesional FAM dalam menangani perkara ini dan ia sudah diselesaikan dengan baik antara kedua-dua belah pihak iaitu FAM dengan TFC Sdn Bhd,” katanya.





Ketika ditanya punca pemain itu tidak mendapat info awal mengenai pemilihannya bersama skuad kebangsaan, sumber itu menjelaskan pemain yang baharu musim ini menyarung jersi TFC itu turun ke laut menyebabkan tidak dapat dihubungi.

“Selepas menang ke atas Selangor Rabu lalu, pihak pengurusan memberikan cuti rehat selama tiga hari kepada semua pemain.





“Jadi kebetulan pemain ini (Shahrul Nizam) anak seorang nelayan, dia mengambil peluang bercuti itu turun ke laut menyebabkan gagal dihubungi,” kata sumber itu.

Kelmarin, FAM mengumumkan Shahrul Nizam bersama pemain Kedah Darul Aman (KDA FC), Muhammad Ariff Farhan Md Isa dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan pada saat akhir bagi menggantikan tempat Dion Cools dan Syahmi Safari yang mengalami kecederaan.