Shahrul terkilan tak tahu nama dipanggil saat akhir

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni menjelaskan dia memang tidak mengetahui namanya tersenarai pada saat akhir bagi menjalani latihan pusat dan perlu melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, kelmarin.

Luahan itu dibuat pemain kelahiran Bachok, Kelantan itu selepas dia dilaporkan tidak hadir melaporkan diri bersama skuad Harimau Malaya yang sudah berlepas ke Amman, Jordan, semalam.



Shahrul Nizam juga dilaporkan tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan bahawa dia dipanggil pada saat akhir kerana berada di laut.

“Pengurusan pasukan (TFC) memberi cuti selama lima hari selepas perlawanan menentang Selangor, jadi memang saya tiada perancangan lain dan terus balik kampung. Sampai di kampung saya turun ke laut.

“Kami keluarga nelayan. Niat saya nak bantu keluarga, tapi bila sampai ke darat, baru saya dapat tahu tentang perkara ini (dipanggil melapor diri ke kem latihan kebangsaan) dan terkejut. la sudah terlewat, pasukan sudah pun terbang ke Jordan.





“Tetapi yang membuatkan saya kecewa dan moral saya terjejas teruk, saya dilabel tidak menghormati panggilan kebangsaan, saya dikatakan tidak serius dan macam-macam tohmahan lain.

“Saya minta maaf, jujur cakap semua pemain teringin menyarung jersi kebangsaan. Ia seperti impian menjadi kenyataan. Kalau saya tahu tidak mungkin saya lepaskan peluang ini,” katanya seperti dilaporkan portal sukan, La BOLA Malaya.





Semalam, pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendakwa masalah komunikasi mungkin menjadi punca hingga Shahrul Nizam tidak tahu bahawa dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan, sekali gus tidak melaporkan diri.

Beliau berkata pemain pertahanan itu juga tidak dapat dihubungi kerana berada di laut dan perkara itu dimaklumkan pengurus pasukan TFC, Zulfadli Rozi.