Barcelona
Kewangan semakin parah, Barcelona ‘muflis’

Barcelona: Ketua eksekutif Barcelona, Ferran Reverter berkata bahawa kelab itu ‘secara teknikalnya muflis’ apabila Joan Laporta mengambil alih jawatan presiden pada Mac dan akan ‘dibubarkan’ jika ia adalah syarikat berhad.
Masalah kewangan gergasi Sepanyol itu bertambah parah pada Ogos lalu apabila mereka terpaksa membiarkan Lionel Messi menyertai Paris Saint-Germain selepas mengakui mereka tidak lagi mampu mengekalkan pemain terbaik dunia sebanyak enam kali untuk tahun ini.
Barisan ahli lembaga baru mewarisi hutang sebanyak 1.35 juta euros (RM6.5 juta) dan gaji pemain juga berdepan masalah ketika Laporta kembali buat kali kedua sebagai presiden selepas peletakan jawatan Josep Maria Bartomeu.
“Sekiranya kelab adalah syarikat berhad ia akan dibubarkan,” kata Reverter pada sidang media di mana dia memaklumkan hasil audit yang dilakukan oleh kumpulan Deloitte.
“Pada bulan Mac 2021 kami berada dalam situasi muflis secara teknikalnya tapi sebagai persatuan sukan kami dapat membiayai kembali hutang,” jelas Reverter yang mendedahkan kelab berdepan masalah untuk membayar gaji pemain kerana aliran tunai yang hampir kosong.
Untuk mengatasi masalah dalam jangka masa pendek, pegawai mengambil pinjaman sebanyak 80 juta euro (RM 386.49 juta) “untuk menanggung tanggungjawab yang sepatutnya bagi tempoh 90 hari dan membiayai semula hutang sebanyak 595 juta euro (RM2,874 juta).
Barcelona mengesahkan mengalami kerugian 481 juta euro (RM2,323 juta) musim lalu yang mana ia lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
Menurut Reverter, audit mengkaji kewangan kelab dari 2018/19 hingga Mac 2021, mendapati terdapat masalah dalam pentadbiran yang serius dan pengarah membeli pemain dengan nilai yang jauh daripada realiti.
Bartomeu terpaksa mengundur diri pada Oktober tahun lalu berikutan tekanan daripada penyokong dan orang ramai dan kegagalannya menyelesaikan masalah untuk meyakinkan Messi terus kekal bersama kelab itu.
“Ketika mereka menandatangani pemain mereka tidak memikirkan sama ada dapat membayarnya atau tidak. Pada malam yang sama ketika (Antoine) Griezmann ditandatangani mereka menyedari bahawa tiada wang untuknya dan mereka perlu meminta lebih banyak dana.”
Barcelona
Barcelona pecat Ronald Koeman

MADRID: Ronald Koeman dipecat daripada jawatannya selaku jurulatih Barcelona, umum kelab itu sebentar tadi selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano yang menyebabkan mereka berada di tangga kesembilan La Liga.
Barca hanya menang dua daripada tujuh saingan terakhir liga di bawah kendalian Koeman, rentetan perlawanan yang menyaksikan mereka juga tewas di tangan Real Madrid pada Clasico di Camp Nou Ahad lalu.
Persembahan buruk pada permulaan musim meningkatkan kemungkinan pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan seterusnya mendatangkan kesan besar terhadap situasi kewangan kelab yang sudah teruk.
Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez, yang kini mengetuai kelab Qatar, Al Sadd serta pengendali River Plate, Marcel Gallardo dilaporkan antara calon untuk mengambil alih tugas itu.
Kenyataan kelab yang diumumkan selepas tengah malam di Sepanyol menyatakan: “FC Barcelona memecat Ronald Koeman daripada jawatan jurulatih pasukan utama malam ini.
“Presiden kelab, Joan Laporta sudah memberitahunya selepas kekalahan di tangan Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Khamis ini di Ciudad Deportiva.
“FC Barcelona mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya dan selamat maju jaya dalam kariernya.” – AFP
Barcelona
Messi kekal di Barca dengan ‘diskaun’ 50 peratus

LONDON: Lionel Messi dilaporkan mencapai persetujuan untuk menyambung kontrak bersama Barcelona dengan potongan gaji 50 peratus.
Barca sebelum ini gagal mendapatkan tanda tangan bintang Argentina itu sebelum kontraknya tamat hujung bulan lalu.
Media Sepanyol bagaimanapun melaporkan, rundingan dengan Messi menunjukkan kemajuan positif dengan pemain berusia 34 tahun sedia untuk kekal di Camp Nao.
Kontrak baharu itu menyaksikan kapten Argentina tersebut menerima gaji kurang separuh daripada sebelumnya iaitu sekitar 1.2 juta pound (RM6.99 juta) seminggu.
Barcelona turut memegang klausa pelepasan 300 juta pound (RM1.74 bilion) ke atas pemain itu.
Messi dikatakan menandatangani kontrak lima tahun walaupun dia pernah menyuarakan hasrat untuk menutup karier dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat.
Menurut Sport, penyerang itu sedia menerima pengurangan gaji susulan krisis kewangan dihadapi kelab Catalan akibat pandemik Covid-19.
Pengumuman rasmi dijangka minggu depan apabila bintang itu pulang daripada bercuti selepas membantu Argentina menjuarai Copa America. – AGENSI
Barcelona
Lebih mudah jual Griezmann dari Messi

Madrid: Tempoh masa Antoine Griezmann di Camp Nou mungkin akan berakhir lebih cepat daripada apa yang disangka.
Bercelona dilaporkan sedang berusaha menjual Griezmann untuk memberi ruang kepada kontrak baru Lionel Messi dan secara tidak langsung menimbang pertambahan gaji Memphis Depay dan Sergio Aguero.
Kontrak Messi bersama kelabnya itu menjadi perhatian utama di Barcelona.
Biarpun Messi dikatakan akan terus kekal di Camp Nou, namun banyak perkara yang menjadi persoalan buat pemain Argentina jika dia bersama kelab baru.
Banyak perkembangan terkini tapi kontrak Griezmann mungkin akan menjadi lebih mudah.
Menurut sumber Griezmann dilaporkan bersedia meninggalkan Barcelona musim panas ini dan berpotensi untuk kembali bersama bekas kelab, Atletico Madrid.
Penyerang berusia 30 tahun dari Perancis itu meninggalkan Atletico Madrid pada 2019 kerana menerima tawaran 120 juta euro (RM596.5 juta) untuk bersama Barcelona selepas menghabiskan masa lima tahun bersama kelab itu, menjadikan ia perpindahan kelima termahal dalam sejarah.
Griezmann bagaimanapun turut dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea, Manchester United dan juga juara liga perdana Manchester City dengan ketiga-tiga pasukan liga perdana itu berusaha memperkuatkan pasukan mereka untuk meraih gelaran juara liga.