Cheng Hoe ‘tak serik’ jumpa pasukan lebih baik

KUALA LUMPUR: Tiada istilah ‘serik’ dalam kamus skuad Harimau Malaya sekalipun dihadiahkan realiti bola sepak dengan kekalahan besar di tangan Jordan dan Uzbekistan dalam dua aksi persahabatan yang berlangsung di Amman, minggu lalu.

Ini kerana pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan mereka akan terus mengintai peluang untuk menguji pasukan yang lebih baik sekiranya memiliki kesempatan berbuat demikian pada masa akan datang.



“Memang kalau diberi peluang, saya nak juga bermain dengan pasukan yang lebih baik daripada kita. Bukan kita tidak mahu berdepan pasukan yang berada di bawah kita.

“Setiap kali berjumpa pasukan yang lebih baik, kita belajar sesuatu tetapi kita juga mahukan mata untuk memperbaiki kedudukan dan ranking. Sebagai jurulatih, kami sentiasa fokus mengenai peningkatan prestasi pasukan selain memperbaiki ranking,” kata Cheng Hoe.





Sebagai rekod, skuad negara berpeluang menguji dua pasukan yang berada beberapa puluh anak tangga lebih tinggi berbanding mereka apabila berdepan Jordan yang berada di ranking ke-93 dunia serta Uzbekistan yang menghuni kedudukan ke-84.

Namun, skuad negara yang menghuni ranking ke-154 dunia itu gagal menyaingi kehebatan dua pasukan terbabit apabila terpaksa akur tumbang 4-0 di tangan Jordan sebelum tewas 5-1 berdepan Uzbekistan.





Apapun, kekalahan itu sudah pasti menjadi pengajaran terbaik buat skuad negara dalam rangka persiapan mereka untuk menghadapi dua misi penting selepas ini.

Menanti anak buah Cheng Hoe pada Disember ini adalah saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura yang menyaksikan Malaysia yang turun selaku naib juara edisi lalu diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam ; Indonesia, Kemboja dan Laos.

Selepas ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu, mereka akan meneruskan misi pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung, Februari ini.