Talian hayat terakhir De Paula

KUALA LUMPUR: Kad laporan untuk skuad Harimau Malaya setakat Oktober 2021 menyaksikan mereka mengharungi tujuh perlawanan membabitkan empat aksi persahabatan dan tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Namun, mereka hanya menang satu daripada tujuh perlawanan terbabit iaitu ketika mereka menundukkan seteru Asia Tenggara, Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).



Baki enam perlawanan menyaksikan mereka tewas semuanya dengan dibolosi 21 gol, namun tetap berjaya menggegar gawang pasukan lawan sebanyak empat kali.

Namun, apa yang mengejutkan adalah penyerang ‘kegemaran’ penyokong, Guilherme de Paula muncul penjaring terbanyak skuad kebangsaan pada tahun ini apabila meledak dua gol.

Satu gol dihasilkan pada penampilan pertamanya dalam aksi latihan menentang Kuwait yang berakhir dengan kekalahan 4-1 sebelum gol kedua menerusi sepakan penalti ketika menentang Vietnam.





Dua lagi gol disumbangkan masing-masing oleh Safawi Rasid juga menerusi sepakan penalti ketika bertemu Thailand dan pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar ketika tewas 5-1 di tangan Uzbekistan, minggu lalu.

Jadi, wajarkah De Paula selaku penjaring terbanyak skuad kebangsaan bagi 2021 itu terus diberi peluang untuk mengemudi jentera serangan negara pada aksi Piala AFF 2020, Disember ini?

Mengulas mengenai situasi itu, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menjelaskan khidmat pemain kelahiran Brazil itu masih relevan untuk ditagih pada ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ yang akan berlangsung di Singapura itu.





Bagaimanapun, jurulatih Kuching City FC itu menegaskan pentas Piala AFF 2020 itu perlu dijadikan ‘talian hayat’ terakhir buat penyerang berusia 34 tahun sama ada boleh terus mewakili skuad negara ataupun tidak selepas ini.

“Kita sudah ambil dia (pemain naturalisasi), jadi terpaksa jugalah kita pakai (ke Piala AFF). Kalau lihat saingan tempatan pun, kita tidak banyak pilihan kerana kebanyakan penyerang kita pun kurang mendapat minit permainan.

“Ada pun yang saya nampak, Syafiq Ahmad yang paling menyerlah tetapi kurang juga beraksi. Saya rasa De Paula masih lagi boleh diberi peluang terakhir untuk buktikan kemampuannya di Piala AFF 2020 nanti.

“Apapun, kita kena lebih berhati-hati untuk mengambil pemain naturalisasi selepas ini,” katanya.