Perak tamatkan kontrak empat pemain import

IPOH: Perak FC menamatkan kontrak empat pemain import, termasuk tiga pemain yang sempat beraksi untuk kelab itu hanya selama empat bulan.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, pemain dari Lubnan iaitu Samir Ayass sudah meninggalkan kelab pada akhir bulan lalu manakala tiga lagi pemain iaitu Zoubairou Garba (Indonesia-Cameroon), Ghislain Guessan (Ivory Coast), dan Nana Poku (Ghana) bakal meninggalkan pasukan pada minggu ini.




Katanya, penamatan kontrak keempat-empat pemain ini dimuktamadkan selepas pihak pengurusan berbincang dengan barisan kejurulatihan dan mengambil kira pelbagai aspek sebelum keputusan itu diambil.

“Kontrak ditamatkan hasil persetujuan bersama dengan kedua belah pihak iaitu antara pemain berkenaan dan (pengurusan) kelab.





“Perak FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemain terbabit yang sudah bersama pasukan biarpun kelab terpaksa berdepan dengan pelbagai konflik sebelum ini.

“Selamat maju jaya kepada mereka bersama kelab baharu (kelak),” katanya menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Facebook kelab, malam ini.




Beliau berkata, susulan itu Perak bakal meneruskan saingan Piala Malaysia dengan baki pemain import sedia ada.

Ia termasuk Jad Noureddine (Lubnan), Charlie Machell (England), dan Sergio Aguero (Argentina) serta dibantu pemain muda dari skuad Perak FC II.