KUALA LUMPUR: Peluang untuk skuad bawah 22 (B-22) tahun negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 semakin cerah apabila menewaskan Mongolia 1-0 dalam kempen kelayakan Kumpulan J, sebentar tadi.
Kemenangan yang diraih di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF) itu menyaksikan skuad negara kekal di kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata dan akan berdepan Thailand pada aksi terakhir, Ahad ini.
Skuad kendalian Brad Maloney bagaimanapun boleh mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan lebih awal sekiranya aksi Laos dan Thailand, petang ini berkesudahan seri.
Pada aksi sebentar tadi, skuad negara dilihat sedikit bergelut hampir 20 minit pertama perlawanan termasuk dalam melakukan hantaran dan mengatur gerakan berbahaya susulan permainan agresif dipamerkan Mongolia.
Namun, dalam 15 minit terakhir babak pertama menyaksikan perlawanan menjadi milik anak buah Maloney dengan hantaran lebih baik dan beberapa percubaan ke arah pintu gol dapat dilakukan.
Lima minit sebelum rehat, gol yang dicari skuad negara akhirnya hadir menerusi Azfar Fikri Azhar yang menanduk masuk bola yang berpunca daripada sepakan sudut kapten pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi.
Mukhairi hampir mengukuhkan kedudukan buat skuad negara, namun rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-75 hanya menggegar palang gol dan kedudukan 1-0 memihak Malaysia kekal hingga wisel penamat.