KUALA LUMPUR: ‘Pencapaian yang hebat!’
Itu yang dapat disimpulkan oleh pengendali skuad Bawah 22 tahun negara (B-22), Brad Maloney selepas anak buahnya mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan, tahun depan.
Lebih manis, mereka bakal terbang ke Uzbekistan selaku juara Kumpulan J selepas menghimpun tujuh mata dalam tiga perlawanan hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Malah, pencapaian cemerlang turut dilakar oleh barisan ‘ubi muda’ negara apabila berjaya memastikan gawang negara tidak bocor dalam tiga perlawanan berdepan Laos, Mongolia dan Thailand.
“Pencapaian yang menakjubkan untuk kelompok pemain ini. Saya sangat percaya dengan kemampuan barisan pemain dan mereka beraksi dengan sangat bagus sepanjang pusingan kelayakan ini.
“Mereka beraksi dengan sangat profesional dan kita juga tidak bolos sebarang gol sepanjang pertandingan. Saya begitu berbangga dengan apa yang ditunjukkan barisan pemain.
“Kita mengharungi pusingan kelayakan tanpa sebarang kekalahan. Jadi ia satu pencapaian yang mengagumkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Maloney melihat pelbagai cabaran yang diharungi sebelum ke pusingan kelayakan Mongolia itu jelas menjadikan mereka lebih kuat dan usaha keras itu terbalas dengan tiket ke Uzbekistan.
“Kami berdepan banyak cabaran sepanjang persiapan kerana pandemik. Hanya dua minggu persiapan di Kuala Lumpur sebelum ke Mongolia dan kami juga pasukan terakhir yang tiba.
“Kami bermula dengan apa yang kami rasakan terbaik dan bermain ikut falsafah kami. Akhirnya kami dapat mencapai apa yang kami inginkan,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 selepas kali pertama pada edisi 2018 di China yang menyaksikan Malaysa mara sehingga suku akhir sebelum tewas 2-1 di tangan Korea Selatan.
Setakat ini, lima lagi pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir iaitu Uzbekistan selaku tuan rumah, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia dan Jepun.