B.Sathianathan tampil membalas kritikan yang dilemparkan bekas Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Lim Teong Kim terhadapnya, dengan jawapan balas yang lebih pedas dan berapi.
Baru-baru ini Lim Teong Kim membidas Sathianathan sebagai bodoh sombong dan tidak memahami sistem pembangunan bolasepak negara berikutan bekas jurulatih kebangsaan itu mempersoalkan sumbangan NFDP kepada pembangunan bolasepak negara.
Sathianathan berkata Lim Teong Kim tidak perlu cakap banyak kerana dia sendiri seorang yang gagal dan sepatutnya cermin diri dahulu sebelum menegur jurulatih lain.
“Pertama sekali, saya tidak mintak NFDP dihentikan, tak pernah. Saya cuma cakap kaedah latihan kena tukar, kita kena belajar dari kesilapan, jangan pakai sistem latihan yang gagal. Kalau masih ikut style Lim Teong Kim yang gagal pada 2018 maka kita tidak akan ada perubahan, tidak akan pergi ke mana.
“Perubahan yang saya maksudkan, kita mahu skuad bawah umur bermain di Piala Dunia Remaja B-17, B-20, itu namanya ada peningkatan dan memang itulah tanda aras yang diletakkan kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ketika ia diwujudkan.
“Kalau keputusan yang terhasil dalam 4 atau 5 tahun kebelakangan tidak ada bezanya dengan zaman sebelum adanya NFDP, mengapa ada NFDP dan jika berterusan gagal lebih baik balik kepada asal iaitu sekolah sukan. Kita nak tengok pemain-pemain muda boleh pergi ke tahap lebih jauh daripada sekarang.
“Saya masih ingat Khairy Jamaluddin (bekas Menteri Belia dan Sukan) berkata salah satu pengukur kejayaan NFDP adalah layak beraksi di Piala Dunia B-17. Sebab itu kita mati-mati bida jadi tuan rumah, mengeluarkan belanja besar tetapi akhirnya Lim Teong Kim gagal.
“Paling tidak dengan kepakaran maha hebat dia (Lim Teong Kim) yang melahirkan Thomas Muller di Jerman, dia sepatutnya boleh buat lebih baik daripada jurulatih tempatan yang digelarnya bodoh sombong, tapi malulah duduk no.4 dalam kumpulan di bawah Jepun, Tajikistan, Thailand. Betul kan no.4? Ke saya silap?
“Saya mungkin bodoh, sombong, tapi saya tak buta laa, saya nampak carta kita duduk no.4 dalam kumpulan padahal zaman sebelum NFDP, Coach Balachandran boleh bawa pasukan pergi ke suku akhir, selangkah sahaja nak layak ke Piala Dunia B-17, sayang kita kalah kepada Australia 2-1,” ujar Sathianathan.
Sebagai rekod, Malaysia B-16 kendalian Lim Teong Kim gagal ke Piala Dunia B-17 selepas tewas kepada Thailand (2-4) dan Jepun (0-2) dalam peringkat kumpulan meskipun bermula dengan langkah kanan menang bergaya 6-2 ke atas Tajikistan, sekaligus menamatkan saingan Kumpulan A di tangga tercorot.
Sathianathan juga berkata Lim Teong Kim sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana pada hakikatnya dia tidak berdepan kesukaran dan kekangan sepertimana ditempuhi C.Balachandran pada 2014 dalam menyediakan sebuah pasukan untuk beraksi di kelayakan Piala Asia B-16.
“Bayangkan ketika itu Coach Bala ada masa tak sampai setahun untuk sediakan pasukan, bukan macam Lim Teong Kim yang diberi masa lima tahun. Saya masih ingat lagi, saya ada dalam Jawatankuasa Teknikal FAM ketika Coach Bala mintak dengan FAM untuk bawa team pergi main pertandingan persahabatan di luar negara. Tapi permintaan ditolak kerana FAM tiada duit.
“Apa yang Coach Bala buat, ketika itu Frenz United anjurkan satu pertandingan antarabangsa, dia ambil bahagian dalam pertandingan itu sebagai ganti, dengan menggunakan budak-budak dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar dia sediakan satu pasukan.
“Dengan tiada apa-apa program khas, tak ada dana, tak ada latihan luar negara, kita layak secara merit ke AFC B-16 (bukan atas tiket tuan rumah) dengan mengungguli pusingan kelayakan. Sewaktu itu juga kita muncul juara AFF B-17. Ini cakap betul, bukan borak kosong boleh semak fakta tapi apa yang berlaku empat tahun kemudian kita tercorot kumpulan di tempat sendiri, bukankah ini menunjukkan Lim Teong Kim gagal dengan teruk?
“Lim Teong Kim cakap saya bodoh, sombong, takpe lah, dia orang Jerman, cerdik dan pandai saya orang Malaysia ni bodoh. Kita nak juga belajar dari orang pandai macam dia yang terkenal dan ada nama di Jerman. Lesen dia mahal, lesen kita level kampung sahaja, tapi itulah peringkat kumpulan pun tangga tercorot.
Jangan tak tahu, di Malaysia, tak pernah ada seorang jurulatih lain yang mendapat keistimewaan dan mandat untuk mengendalikan pasukan selama lima tahun sepertimana Lim Teong Kim dapat, malah diberi kuasa mutlak untuk menentukan apa sahaja. Gaji dia beratus ribu, gaji penolong dia satu atau dua ribu. Oh lupa dia orang Jerman.
Dia juga tanya zaman dahulu apa yang saya dah menang, macam lah dia ada menang apa-apa padahal lesen Jerman kot. Sebelum dia datang kita menang AFF B-17 dia cakap itu semua pertandingan kampung, habis tu apa yang pertandingan lain kita boleh masuk. Nak menang AFC tak boleh dah dia sendiri yang gagal, lepas tu takkan Malaysia nak main dekat Eropah, kita pasukan Asia Tenggara, bodoh punya orang,” kata Sathianathan lagi.
Lim Teong Kim dilantik sebagai Pengarah Projek NFDP pada 2013 dengan kontrak selama lima tahun sehingga 2018, sebelum dilantik sebagai Pengarah AMD bermula 2016 dengan kontrak sehingga 2020.
Namun susulan kegagalan skuad muda negara ke Piala Dunia B-17, kontraknya ditamatkan lebih awal pada 2018. – LaBolaMalaya