MFL siasat insiden penyokong ceroboh padang

Kuala Lumpur: Kemenangan Terengganu menentang Selangor FC malam tadi dicemari insiden penyokong pasukan pelawat ‘menerjah’ ke dalam kawasan padang bagi meraikan gol.

Malah, perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan skuad Penyu memperoleh kemenangan 3-1 itu menyaksikan penyokong pasukan pelawat turut memeluk pemain import Jordan Mintah ketika meraikan gol kedua tanpa dikawal ketat oleh pegawai perlawanan.


Insiden berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan tahap keselamatan selain terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berkaitan insiden itu.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci iaitu memanggil pihak berkaitan sebelum tindakan susulan diambil bagi membendung kejadian sama berulang.

“Kita ada menerima laporan membabitkan kejadian itu dan siasatan segera akan dilakukan sebelum tindakan sewajarnya diambil.




“Saya tidak mahu bercakap mengenai kegagalan kawalan keselamatan kerana penganjuran kejohanan besar seperti Piala Dunia pun ada penyokong lari masuk ke padang,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan Terengganu terus membuktikan mereka adalah jaguh Pantai Timur apabila berjaya menundukkan Selangor, 3-1 dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia.

Skuad kendalian Nafuzi Zain terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi lima perlawanan peringkat kumpulan.




Pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain lincahnya Faisal Halim yang berjaya menyumbat gol pembukaan pada minit ke 15 untuk kedudukan 0-1.

Terengganu terus menambah derita skuad kendalian Karsten Neitzel untuk gol kedua pelawat apabila sepak percuma penyerang importnya Jordan Mintah berjaya menerjah gawang sekali gus menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid pada minit 72 untuk kedudukan 0-2.

Skuad Gergasi Merah bangkit merapatkan jurang gol menerusi penyerangnya Shahrel Fikri pada minit 83 untuk kedudukan 1-2 sebelum Jordan Mintah sekali lagi menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila menyumbat gol ketiga juga menerusi sepakan percuma sebelum perlawanan berakhir dengan kedudukan 3-1.