Timor Leste dijangka uji Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan kesuntukan masa, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap merancang untuk mengatur satu aksi pemanas badan buat skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura, bulan depan.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar menjelaskan ketika ini pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Timor Leste.


Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih lagi memperhalusi mekanisme selain perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) terlebih dahulu.

“Selepas Brunei sah menarik diri daripada kempen Piala AFF Suzuki 2020 sebelum ini, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste.

“Namun, kita perlu dapatkan kelulusan daripada AFF kerana ada syarat untuk mengaturkan aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain di sini (Malaysia),” katanya selepas majlis pelancaran jam edisi khas kedua G-Shock Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.





Dalam perkembangan sama, Saifuddin mengesahkan seorang pegawai pasukan bawah 23 tahun (B-23) positif Covid-19 selepas pulang daripada mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 dari Mongolia minggu lalu.

Katanya, pegawai terbabit sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin berasingan dengan barisan pemain dan kejurulatihan selepas disahkan positif.





“Semua yang pulang dari Mongolia pada 3 November telah diarahkan menjalani ujian calitan PCR kedua pada 5 November lepas dan seorang daripada mereka didapati positif.

“Pegawai terbabit telah diarahkan menjalani kuarantin di tempat yang berbeza manakala barisan pemain, jurulatih dan pegawai yang lain perlu dilanjutkan tempoh kuarantin yang dijangka berakhir pada hujung minggu ini,” katanya.