Ronaldo kecewa, marah jurulatih

Lisbon: Cristiano Ronaldo dilihat menahan air matanya selepas Serbia meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Portugal untuk layak ke Piala Dunia tahun depan sekali menyaksikan tuan rumah perlu beraksi pada perlawanan playoff.

Pemenang Euro 2016 itu dikejutkan oleh Serbia di Lisbon apabila pelawat bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk memenangi perlawanan itu dan menjuarai Kumpulan A sekali gus layak ke Qatar pada tahun depan.



Bintang Manchester United berusia 36 tahun itu dilihat sebak selepas tamat perlawanan kerana peluangnya untuk membuat penampilan kali kelima di Piala Dunia masih belum pasti.

Kelihatan juga Ronaldo meluahkan perasaan sebenarnya kepada Fernando Santos apabila ‘kantoi’ melepaskan kemarahan ke atas jurulatih Portugal.

Ketika pemain dan kakitangan kedua-dua pasukan bersalaman, Ronaldo dihampiri pemain gantian Serbia, Nemanja Radonjic dan kemudiannya mereka berpelukan.

Menerusi video klip yang dikongsi di Internet, Ronaldo kemudiannya melihat Santos yang turut menghampirinya sebelum pemain itu menjerit dan mengangkat tangannya ke udara seakan tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Santos kemudiannya berlalu pergi selepas sempat bersalaman dengan pemain berusia 36 tahun itu.

Bekas penyerang Real Madrid itu meletakkan tangannya di pinggul sebelum menuju ke terowong dengan riak muka yang penuh kekecewaan.




Ini bukan kali pertama Ronaldo menunjukkan kekecewaannya bersama Portugal di mana dia sebelum ini pernah mencampak lilitan kaptennya di lantai dan meluru keluar daripada padang selepas jaringan kemenangannya pada minit akhir bertemu lawan sama dibatalkan, Mac lalu.

Skuad bimbingan Fernando Santos hanya perlu meraih keputusan seri pada perlawanan itu untuk layak ke Piala Dunia.

Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan gol kemenangan penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic pada minit ke-90.

Pemain tengah Portugal, Joao Palhinha berkata: “Kami bertanggungjawab atas kekalahan ini kerana gagal beraksi dengan baik.





“Kami hanya bertahan pada separuh masa kedua. Tahniah kepada Serbia kerana mereka beraksi dengan sangat baik.

“Setiap orang di bilik persalinan berasa kecewa tetapi sekarang kami perlu fokus pada aksi playoff kerana kami sememangnya berhak untuk beraksi di Piala Dunia.”