Selangor Real Madrid Malaysia – Hodak

KUALA LUMPUR: “Kita perlu fikir 0-0.”

Demikian pandangan pengendali KL City FC, Bojan Hodak meskipun anak buahnya membawa bekalan dua gol di tempat lawan menuju aksi suku akhir kedua berdepan Selangor FC, Khamis ini.



Jelas pengendali dari Croatia itu, mereka tetap perlu berwaspada dengan kebangkitan yang mampu dijelmakan The Red Giants apatah lagi masih ada 90 minit yang perlu ditempuhi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur nanti.

“Kita bukanlah pasukan pilihan. Selangor adalah Real Madrid Malaysia dan pencapaian mereka sebelum ini menunjukkan mereka pasukan terbesar dalam negara ini.





“Mereka memiliki penyerang dan pemain tengah terbaik, jadi satu kejayaan apabila kami dapat menyekat mereka.

“Walaupun memiliki kelebihan tetapi ada lagi 90 minit, jadi kita tidak boleh sambil lewa dan kena anggap 0-0. Kita perlu menang juga,” katanya.

Terdahulu, aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan skuad ‘Warga Kota’ membenam juara 33 kali itu dengan keputusan 2-0.





Gol daripada setiap babak menerusi Morales dan Hadin Azman meletakkan KL City dalam kedudukan terbaik untuk slot ke separuh akhir.

Sementara itu, pengendali skuad Merah Kuning, Karsten Neitzel mengakui ketiadaan pemain berpengalaman menyebabkan persembahan mereka goyah sekali gus aksi ‘yo yo’ yang diperagakan pemain mereka.

“Ini bukanlah persembahan terbaik kita di mana kita menguasai permainan tetapi tidak banyak mencipta peluang. Kita tidak berbahaya dalam kawasan KL City.

“Kita kehilangan pemain berpengalaman seperti Brendan Gan, Ifedayo Olusegun dan Safuwan Baharudin. Kami mempertaruhkan pemain muda.

“Kalau kita ada pemain berpengalaman, persembahan akan jadi lebih stabil dan konsisten pada malam ini (kelmarin),” katanya.