Mari kita dapatkan trofi itu – Cools

Kuala Lumpur: Semboyan kejuaraan sudah mula ditiupkan oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya yang bersedia untuk menamatkan kemarau 11 tahun gelaran Piala AFF.

Pemain kacukan yang berpangkalan di Denmark, Dion Cools antara tonggak negara yang mula memalu ‘gendang perang’ menjelang kempen Piala AFF di Singapura bermula 6 Disember ini.



Jelas tonggak pertahanan FC Midtjylland itu, dia yakin dengan potensi skuad kendalian Tan Cheng Hoe di saingan serantau itu dan percaya sasaran untuk mara ke final, sekali gus memenangi perlawanan akhir itu.

“Mari kita dapatkan trofi itu,” kata Cools di laman Twitter rasmi miliknya selepas senarai 28 pemain diumumkan Cheng Hoe, kelmarin.

Cools yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia dari sebelah ibunya sudah membuat tiga penampilan bersama skuad Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu pada Jun lalu dan berpeluang menambah kap di Singapura nanti.

Pengalaman bekas pemain Club Brugge di Liga Belgium itu amat ditagih oleh skuad kebangsaan bagi memantapkan benteng pertahanan negara.





Pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dengan menentang kelab terkemuka dunia seperti Manchester United dan Liverpool pastinya mampu menambah keyakinan untuk mengekang jentera serangan lawan di Piala AFF nanti.

Bagaimanapun, Cools dijangka hanya menyertai pasukan selepas aksi ketiga Kumpulan B ekoran kelabnya masih memiliki dua perlawanan Liga Denmark selain satu aksi Liga Europa.




FC Midtjylland akan beraksi menentang Brondby IF di peringkat suku akhir pertama Piala Danish pada 5 Disember, sebelum berdepan FC Ludogorets dari Bulgaria, 10 Disember ini.

Kelabnya sekali lagi akan bertemu Brondby IF di aksi suku akhir kedua pada 13 Disember dan selepas perlawanan itu, Cools akan terus terbang ke Singapura untuk menyertai skuad Harimau Malaya.

Aksi pertama Malaysia pula adalah pada 6 Disember menentang Kemboja diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) sebelum dua pasukan terbaik daripada dua kumpulan beraksi di peringkat separuh akhir.