KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyifatkan kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelab itu tidak membayar pampasan terhadap perpindahan Akhyar Rashid sebagai tuduhan tidak berasas.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjelaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar selepas pemain itu menamatkan kontrak bersama Kedah.
Malah, beliau berkata, JDT bersetuju untuk membayar lebih dan mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018.
“Cek ini bagaimanapun dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Mahkamah Timbang Tara kemudiannya membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.
“Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas.”
Semalam, Sanusi mendakwa JDT tidak menjelaskan pampasan yang sepatutnya dibayar KFA berhubung perpindahan kontroversi pemain itu ke kelab berkenaan sebelum ini.
“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan bahawa mereka (JDT) perlu membayar kepada Kedah, tetapi mereka masih belum menjelaskan bayaran itu, bagi saya ini aneh memandangkan mereka mendakwa sebagai kelab kaya.
“Dia ajak saya turun ke sana untuk selesaikan isu ini tetapi saya enggan, saya tidak buat apa-apa silap jadi kenapa perlu ke sana. Kami mungkin miskin, tetapi kami tetap berbangga dan jangan sesekali memandang rendah pasukan miskin,” kata Sanusi.
Muhammad Sanusi berkata, beliau membuat pemerhatian berdasarkan prestasi buruk pemain terbabit ketika perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman.
“Saya melihatnya bermain dalam perlawanan baru-baru ini, dia tidak dapat menjaringkan gol walaupun sudah berada di dalam kotak penalti.
“Saya kasihan dengan budak itu, dia seorang pemain yang berkaliber ketika bermain untuk Kedah, tetapi selepas menyertai pasukan lain yang menawarkan tawaran lumayan kepadanya, dia tidak dapat bermain secara kompetitif, jadi akhirnya dia menghidap ‘kepengkaran’,”