LONDON: Michael Carrick menegaskan Ralf Rangnick tidak memainkan peranan dalam taktikal Manchester United ketika seri 1-1 menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di Stamford Bridge, di sini, semalam.
Rangnick ketika ini masih bersama kelab Russia, Lokomotiv Moscow sebagai pengarah sukan dan pembangunan, serta dijangka menyertai United sebagai pengendali sementara minggu ini.
Pengendali dari Jerman itu berunding dengan United sejak Ole Gunnar Solskjaer dipecat dan Carrick yang mengambil alih pasukan menjelmakan kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Villarreal serta seri menentang Chelsea.
Bekas pertahanan United, Gary Neville berkata keputusan Carrick meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan dan menerapkan formasi bertahan 4-3-3 di Stamford Bridge memberi isyarat yang Rangnick terbabit dalam taktikal berkenaan.
“Saya rasa bakal pengendali sementara yang memilih pemain kerana ia menunjukkan perubahan ketara berbanding pertengahan minggu,” kata Neville.
Carrick bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan dengan berkata: “Tidak, ia bukan begitu. Saya fokus dengan perlawanan ini dan ia mencukupi untuk mempersiapkan pemain-pemain.”