Messi menang Ballon d’Or kali ketujuh

PARIS: Bintang Argentina, Lionel Messi memahat rekod memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali ketujuh selepas menewaskan pesaing rapat, Robert Lewandowski dan Jorginho awal pagi tadi.

Messi menambah koleksi kejuaraan yang sebelum ini dimenangi pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.



Kemenangan kali ini dibantu oleh kejayaannya membantu Argentina memenangi kejuaraan Copa America buat kali pertama, Julai lalu.

“Ia sangat menakjubkan dapat berada di sini sekali lagi.

“Dua tahun lalu, saya fikir ia adalah yang terakhir. Menjuarai Copa America adalah kuncinya.





“Ia tahun yang istimewa buat saya kerana memenangi gelaran Copa America. Ia memberi makna besar menang di Stadium Maracana” kata Messi.

Messi yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) dari Barcelona musim ini mengumpul 613 mata, manakala bintang Bayern Munich serta Poland, Lewandowski meraih 580 mata.





Jorginho yang membantu Chelsea merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara, selain muncul juara Eropah bersama Itali di tempat ketiga.

Alexia Putellas memenangi anugerah Ballon d’Or wanita, manakala Pedri meraih trofi Kopa untuk pemain bawah 21 tahun.
Sementara itu, anugerah pemain terbaik wanita menjadi milik bintang tengah Sepanyol, Alexia Putellas yang membawa Barcelona muncul Liga Juara-Juara.

Bintang remaja Barcelona, Pedri, 19, memenangi trofi Kopa untuk pemain bawah 21 tahun. – AGENSI