Harimau Malaya hanya ada dua hari untuk serasi

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengharapkan pemain yang berpangkalan di luar negara dapat melakukan ‘kerja rumah’ sendiri dalam usaha memastikan prestasi masing-masing berada pada tahap optimum.



Ini kerana pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Dion Cools (Midtjylland FC) Junior Eldstal (Chonburi FC) dan pertahanan Police Tero, Dominic Tan hanya akan bersama pasukan dua hari sebelum sepak mula kejohanan Piala AFF di Singapura, 5 Disember ini.

Cheng Hoe berkata, pemain berkenaan tiada lagi masa untuk ‘bermesra’ atau mencari keserasian sebaik bersama skuad Harimau Malaya di Singapura berikutan ketika itu barisan kejurulatihan lebih menumpukan kepada perancangan taktikal dalam menghadapi lawan.





Katanya, pemain terbabit sentiasa dipantau oleh barisan kejurulatihan dengan memastikan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan atau penurunan prestasi. “Kita mengetahui jadual mereka dan barisan kejurulatihan sentiasa memantau latihan dan perlawanan mereka supaya sentiasa berada tahap terbaik. Saya mengharapkan mereka boleh fokus pada pasukan apabila berkumpul di Singapura kelak kerana ada tempoh dua hari saja untuk persediaan sekali gus mungkin beri tumpuan pada taktikal saja.

“Setakat ini, kita yakin dengan kemampuan pasukan dan mengharapkan keputusan terbaik dapat dicipta pada kejohanan itu,” katanya pada sesi pertama kem latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, semalam.





Seramai 15 daripada 28 pemain disenaraikan sudah melapor diri, namun penyerang Petaling Jaya City FC, Darren Lok terpaksa digugurkan daripada skuad ke Singapura susulan kecederaan otot perut yang dialami semasa sesi latihan Fasa 1 bermula Isnin lalu.

Skuad kendalian Cheng Hoe menanti tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dua pemain Kuala Lumpur City FC yang terbabit dengan aksi final Piala Malaysia, sebelum 24 pemain dipilih membawa cabaran di Singapura.

Kejuaraan Piala AFF 2020 dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.