FIFA syor Liga Super, Liga Premier berlangsung tiga pusingan

TINJAUAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati pemain bola sepak di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Bagi mengatasi perkara itu, beliau berkata, FIFA mengesyorkan saingan Liga Malaysia (Liga M) membabitkan Liga Super dan Liga Premier dipanjangkan bagi menyediakan jumlah perlawanan yang ideal kepada pemain.



Katanya, badan induk bola sepak dunia itu mencadangkan supaya saingan liga dijalankan secara tiga pusingan dengan setiap pasukan akan bertemu antara satu sama lain sebanyak tiga kali berbanding dua perlawanan yang perlu dilalui dalam format pertandingan ketika ini.

“Format sedia ada dikekalkan, cuma pasukan akan main sekali lagi satu pusingan. Sebagai contoh Kelantan dah bermain dua perlawanan dengan Selangor, akhir sekali mereka akan bertemu semula dan kita akan tentukan siapa menjadi tuan rumah perlawanan itu.

“Tetapi kita perlu tengok juga sama ada cadangan itu boleh dibuat dalam kita punya kalendar (kalendar bola sepak) sebab kalendar kita ini lain sikit dari negara lain. Kita juga kena beri ruang kepada pasukan negara untuk buat persiapan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Saifuddin berkata hasil tinjauan dilakukan FIFA terhadap ekosistem bola sepak Malaysia itu dikongsikan bersama FAM dalam mesyuarat secara maya antara kedua-dua entiti itu yang berlangsung dua minggu lalu.





Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri barisan ketua unit di bawah Jabatan Teknikal dan Pembangunan FAM, antaranya Ketua Unit Belia FAM, Mohamed Razip Ismail dan Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan, Lim Kim Chon.

“Jadi mereka akan buat analisis dan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM. Semua cadangan yang diterima kita akan tengok sama ada ia boleh dilaksanakan. Tidak semestinya semua itu kita perlu laksanakan, kita kena tengok juga situasi kita,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan bertanding masing-masing dalam Liga Super dan Liga Premier ketika ini.

Ia menyaksikan setiap pasukan menempuh sebanyak 22 perlawanan semusim, namun mereka berpeluang bermain lebih daripada jumlah itu sekiranya layak beraksi pada saingan Piala Malaysia.




Mengambil contoh beberapa liga terbaik di dunia, setiap pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol) dan Serie A (Itali) masing-masing menempuh 38 perlawanan semusim manakala bagi kancah Bundesliga (Jerman) setiap pasukan beraksi sebanyak 36 perlawanan.

Sementara di peringkat Asia Tenggara, saingan liga di Indonesia menampilkan 34 perlawanan keseluruhan sementara liga di Thailand dan Vietnam masing-masing 30 dan 26 perlawanan.

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata dalam mesyuarat berkenaan, FIFA turut mengiktiraf Peta Hala Tuju FAM 2019-2030 (F:30) sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa F:30 adalah sebuah pelan yang gagal.

Bagaimanapun, beliau mengakui F:30 yang menjadi panduan dalam mengangkat semula martabat bola sepak tanah air masih boleh ditambah baik untuk membolehkan sasaran diletakkan mampu dicapai.

“F:30 ini memang kita rancang dari tahun 2019 dan seperti yang semua maklum bahawa kemajuannya sangat perlahan disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Covid-19, namun kita sedang berusaha untuk kembali kepada sasaran kita pada 2022 ini,” katanya. – Bernama