KL City Benarkan Bojan Hodak Kembali Ke FAM

KL City tidak akan menghalang ketua jurulatihnya Bojan Hodak untuk kembali ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekiranya dia mendapat tawaran untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Bojan Hodak antara nama yang hangat dikaitkan sebagai pengganti Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada Isnin lalu, susulan kegagalan di Piala AFF Suzuki 2020.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard Samuel kepada Sukan Sinar : “Kami telah adakan perbincangan dengan Bojan Hodak berhubung perkara berkenaan semalam (Isnin) dan bagi saya, perbincangan itu telah berlangsung dengan telus dan harmoni.

“Memang dari dulu lagi kami telah berbincang mengenai perkara ini yang mana saya memang ada bertanya kepadanya apakah cita-citanya dalam bola sepak. Kata Bojan, memang menjadi impiannya untuk melatih pasukan negara.

“Sekiranya benar beliau mendapat panggilan (tawaran membimbing skuad negara), saya memang sokong dan saya tidak akan menghalang beliau meninggalkan KL City,”





“Buat masa ini, fokus Bojan mempersiapkan pasukan menghadapi Liga Malaysia. Kami juga masih belum menerima apa-apa tawaran rasmi mahupun tidak rasmi daripada FAM.

“Jika ada tawaran, sudah tentu akan ada lagi perbincangan dengan Bojan. Cuma saya melihat perkara ini sebagai lumrah bagi seorang yang bergelar jurulatih profesional.





“Saya juga pernah bergelar pemain sebelum ini dan sebagai jurulatih dan pemain, sudah pasti kami mahu ke tempat yang lebih tinggi dalam karier bola sepak.”

Bojan Hodak yang membawa KL City menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 pada tahun lalu dengan mengejutkan Johor Darul Takzim di pentas final, sebelum ini mengakui dia sememangnya layak untuk membimbing Harimau Malaya.

Dia sebelum ini pernah melatih pasukan B-19 negara dan membawa pasukan itu mencipta sejarah menjulang Piala AFF B-19 pada 2018 namun kontraknya tidak disambung pada 2019 berikutan dia mengkritik sistem pembangunan bolasepak negara yang tidak betul.