Pochettino hanya tunggu panggilan Man United

MANCHESTER: Mauricio Pochettino kini hanya menunggu panggilan rasmi daripada Manchester United untuk menjadi pengendali baharu kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengendali Paris Saint-Germain itu dianggap calon paling sesuai untuk mengembalikan kegemilangan United ketika di bawah kendalian Alex Ferguson.


Bagaimanapun sekiranya perpindahan itu berjaya disempurnakan, Pochettino – atau sesiapa saja termasuk Ralf Rangnick jika jawatannya sebagai pengendali sementara ditukar kepada tetap – perlu menangani masalah besar di Old Trafford.

Bintang utama United, Cristiano Ronaldo yang di atas kertas adalah penyelamat utama United musim ini, tetapi dijadikan sasaran kritikan apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.





United, sebelum kepulangan Ronaldo, kelihatan seperti mempunyai perancangan di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan bukan seperti sekumpulan badut di atas padang.

Namun corak permainan mereka berubah secara total apabila Solskjaer cuba menyesuaikan Ronaldo ke dalam skuad dan mengorbankan posisi Mason Greenwood.





Akhirnya percaturan itu memakan diri dan Solskjaer terus kempunan untuk menghadiahkan trofi kepada bekas kelabnya di mana dia bergelar sebagai legenda ketika menjadi pemain.

Apapun kritikan terhadap Ronaldo, pemenang lima kali Ballon d’Or dari Portugal itu sudah menjaringkan 14 gol untuk United sejak musim panas lalu dan menjadi penyelamat dengan beberapa gol kemenangan baik di Liga Perdana Inggeris mahupun Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI