Lim Teong Kim Kecewa Dengan ‘Loser Mentality’ Cheng Hoe

Bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim berpendapat Tan Cheng Hoe sekadar menunjukkan dirinya seorang ‘loser’ apabila meletak jawatan setelah kegagalan di Piala AFF 2020 bulan lalu.

Menganggap tindakan Cheng Hoe ‘lari’ atas alasan rasa bertanggungjawab itu sebagai satu kesilapan, Lim Teong Kim berkata pengendali itu sepatutnya sudah membiasakan diri dengan tekanan dan meneruskan sahaja tugasannya sebagai ketua jurulatih.

Apatah lagi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri telah menyatakan akan memberi sokongan kepadanya dan tiada perancangan untuk memecatnya.

Menurutnya Cheng Hoe mungkin lebih dihormati jika dia bercakap benar dan lantang menyuruh mana-mana pihak yang tidak berkaitan agar tidak mencampuri urusan skuad negara.


“Tekanan ibarat udara yang kita hirup. Memang itu lumrahnya dalam bola sepak. Kalau tidak boleh terima tekanan, jangan jadi jurulatih.

“Kita bukan melatih pasukan kampung tapi pasukan negara. Memang wujud tekanan sebegini, jadi perlu biasakan diri dengan benda-benda tersebut. Yang penting, kamu kena jujur dengan kerja, pemain dan sesiapa pun.

“Jangan cepat mengalah. Dia hanya menunjukkan loser mentality yang boleh membawa aura negatif kepada pasukan. Sebagai jurulatih, dia perlu menjadi contoh kepada pasukan dengan menunjukkan winning mentality.

“Menang kalah itu adat permainan. Kalau kalah, tengok macam mana kita kalah. Kalau kalah macam Indonesia lawan Thailand, penyokong akan dapat terima.




“Penyokong Malaysia bukan bodoh. Jika mereka lihat pemain kita bersaing, mereka akan dapat terima selagi beri aksi yang terbaik.

“FAM tidak suruh kamu berundur, jadi kenapa berundur. Sepatutnya dia mesti habiskan kontrak yang berbaki dan bawa pasukan ini ke AFC pada bulan Jun.

“Dia sudah kenal pemain dan mempunyai masa enam bulan untuk memperbaiki kelemahan pasukan semasa kempen Piala AFF.

“Cheng Hoe perlu gunakan kuasanya sebagai ketua jurulatih. Tapi dia silap buat keputusan untuk letak jawatan dan peluang ini dah terlepas.

“Keputusan ini hanya akan menyusahkan jurulatih tempatan kerana selagi isu ‘tangan ghaib’ tidak dibongkar ke media dan penyokong, selagi itu mereka tidak akan faham,” katanya kepada portal Majoriti.