Pilihan di tangan FAM – Sathianathan

PETALING JAYA : Jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih memasang impian untuk layak ke Piala Asia 2023 bermakna badan induk bola sepak negara itu perlu mencari jurulatih yang ‘masak’ dengan landskap bola sepak tempatan.

Sebaliknya, jika matlamat jangka panjang diletakkan FAM maka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di Pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijadual berlangsung pada Jun ini tidak boleh dibebankan kepada jurulatih baharu yang bakal dilantik nanti.



Pendapat itu diutarakan bekas jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan menyifatkan segala keputusan bergantung kepada FAM sama ada untuk meletakkan pelan jangka pendek atau panjang.

“Itu terpulang kepada FAM kalau jurulatih untuk masa jangka panjang kena bawa seorang jurulatih yang diberi kuasa untuk dua ke tiga tahun.

“Kalau jangka pendek maka perlu lantik jurulatih sementara dan faham (tentang bolasepak Malaysia) untuk persiapan dalam tempoh enam bulan sebelum kelayakan Piala Asia.

“Banyak jurulatih akan menilai dan mengkaji prestasi pasukan kebangsaan sebelum berani menggalas tugas tersebut. Jadi jangan ambil sewenang-wenangnya dan semua itu bergantung kepada kebijaksanaan orang yang akan temuduga jurulatih baharu nanti.

“Betul, kita mesti ada impian dan setiap jurulatih pasti berusaha yang terbaik tetapi jika kita kata itulah (layak ke Piala Asia) adalah sasaran, baik ambil jurulatih sementara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.





Kelmarin dilaporkan bahawa FAM telah mengintai beberapa calon jurulatih terdiri daripada Jepun, Korea Selatan, Sepanyol dan England untuk menduduki ‘kerusi panas’ yang ditinggalkan Tan Cheng Hoe selepas kegagalan di Piala AFF 2020 di Singapura bulan lalu.

Tambahnya, untuk seseorang jurulatih membentuk pasukan mengikut acuannya sendiri sekurang-kurangnya mengambil tempoh setahun dan paling cepat adalah 6 bulan tetapi segalanya bergantung kepada pemain yang dimiliki.

“Untuk ikut corak permainan dia apabila memiliki pemain-pemain terbaik di negara ia akan ambil masa setahun baru nampak perubahan dan mungkin dalam masa 6 bulan pun boleh tetapi semua kena ada bekerjasama,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai adalah bekas pengendali Thailand, Kiatisuk Senamuang antara calon sesuai sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Sathianathan meninggalkan persoalan sama ada Malaysia sudah memiliki pemain setaraf skuad Gajah Perang itu.





“Dia jurulatih yang baik tetapi adakah kita ada pemain seperti Thailand atau tidak?,” jawab ringkas Pengarah Teknikal Sarawak United itu.

Dalam pada itu, Sathianathan mengakui apa yang dijawab oleh Pengarah Teknikal baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell berkenaan tidak akan mengadakan perlawanan persahabatan dalam tempoh kalender yang dibuka Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan zon Asia bermula 25 Januari hingga 1 Februari depan adalah tepat.

“Tiada perancangan kerana tempoh terlalu dekat, perancangan ini bukan Pengarah Teknikal buat tetapi jurulatih. Sekarang jurulatih sudah tiada, tidak mungkin kena ikut perancangan yang dibuat jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum ini,” jelasnya.