Tutup sahaja cerita kegagalan di Piala AFF Suzuki 2020

Tutup sahaja cerita kegagalan Malaysia di Piala AFF Suzuki 2020 dan fokus kepada memperbetulkan apa yang tak betul, demikian menurut pemerhati sukan tanah air, Dr Pekan Ramli.

Menurutnya tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan badan siasatan bebas yang akan diketuai bekas pemain kebangsaan Datuk Dell Akhbar Khan untuk melakukan post mortem terhadap prestasi buruk Harimau Malaya adalah tindakan yang membazir masa dan tidak relevan kerana Tan Cheng Hoe sudah meletakkan jawatan.



Malah beliau menekankan bahawa pada hakikatnya semua sudah sedia tahu apa punca dan kelemahan Harimau Malaya justeru post-mortem lebih wajar sekiranya mahu mendedahkan perkara lain yang penyokong tidak tahu.

“Melainkan bedah siasat ini mesti dilakukan bertujuan untuk menjawab pelbagai dakwaan dan perspektif serta persepsi negatif peminat tentang pembabitan ‘tangan ghaib’ dalam soal pemilihan pemain.




“Jika itu tujuannya, akan ada lagi banyak persoalan lain daripada peminat kelak seperti sejauh mana badan siasatan bebas itu bebas daripada sebarang perkaitan dengan FAM.

“Apa pun keputusannya nanti, peminat tetap akan membuat pelbagai tafsiran negatif yang pelbagai. Jadi, adalah lebih baik ‘move on’ sahaja dan banyak bekerja daripada sekadar bercakap atau berlakon.

“Lagipun ini hanya sukan dan saya percaya tiada sebarang unsur jenayah, ugutan, paksaan atau rasuah dalam konteks pemilihan pemain yang menyebabkan Harimau Malaya kecundang.




“Semua yang berlaku dan jika berlaku unsur terbabit, ia atas dasar yang dipersetujui bersama. Jadi tiada pihak yang akan menjadi ‘Pak Pandir’ dalam isu ini. Dah terang lagi bersuluh, tak perlu diminta membuka baju tetapi sudah terlondeh sendiri,” kata Pekan Ramli kepada portal Majoriti.

Tambah beliau lagi, “Ini bukan lagi soal kuman di seberang lautan nampak tapi gajah di depan mata buat tak tahu. Sekarang ini belalai gajah pun boleh sentuh hidung kita, tak akan masih rabun lagi.

“Begitulah ibaratnya kualiti pasukan Harimau Malaya yang mudah sahaja dibenam oleh Vietnam dan Indonesia.” -Labolamalaya/Majoriti