Rooney, Lampard calon ganti Benitez

LONDON: Rafael Benitez dipecat sebagai pengendali Everton semalam selepas hanya 200 hari mengambil alih pasukan Liga Perdana Inggeris itu dengan bekas pemain Wayne Rooney antara calon pilihan menggantikannya.

Pelantikan Benitez pada Jun tahun lalu tidak disukai peminat kerana dia pernah bersama seteru Merseyside Everton, Liverpool.

Pengendali dari Sepanyol itu menerima padah selepas tewas 2-1 di tangan Norwich Sabtu lalu – kekalahan kesembilan dalam 13 perlawanan terakhir liga Everton.

“Everton FC boleh mengesahkan peletakan jawatan Rafael Benitez sebagai pengendali pasukan utama. Peletakan jawatan Benitez, yang menyertai Everton pada Jun 2021, berkuatkuasa serta merta.





“Makluman berkenaan pengganti tetapnya akan dibuat dalam masa terdekat,” kata kelab berkenaan.

Bekas penyerang Everton, Rooney yang kini membimbing kelab divisyen dua Derby, menjadi pilihan pemerhati untuk menggantikan Benitez.

Rooney pernah bersama Everton sebelum berpindah ke Manchester United dan kembali ke kelab berkenaan selepas karier gemilang di Old Trafford.





Bekas rakan sepasukan England Rooney, Frank Lampard, yang dipecat Chelsea tahun lalu, turut dinamakan sebagai calon mengisi jawatan berkenaan.

Selain dua bekas pemain England itu, bos Brighton Graham Potter dan Paulo Fonseca, yang kali terakhir bersama Roma, turut dipertimbangkan.

Di bawah kendalian Benitez, Everton hanya mengutip 19 mata dalam 19 perlawanan liga, jumlah terendah untuk setengah musim sejak kempen 2005-06. – AFP