JDT ikat tiga pemain import dari Sepanyol

Pengesahan itu dibuat oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi pada akaun rasmi media sosial kelab berkenaan, Johor Southern Tigers petang tadi.

“Kami akan mengumumkan esok dua pemain baharu yang akan bersama JDT manakala seorang lagi pemain dari Sepanyol itu akan menyertai JDT di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika mengadakan latihan pramusim di negara berkenaan.




“Ia adalah langkah bagi memperkasakan JDT bagi mengharungi kempen liga, Piala FA dan Piala Malaysia selain saingan ACL yang diundi di dalam Kumpulan I bersama Kawasaki Frontale dari Jepun, Guangzhou Fc (China) dan sama ada Ulsan FC dari Korea Selatan atau Port FC dari Thailand.

“JDT akan berlepas ke Dubai hujung minggu ini dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Spartak Moscow, Rodina Moscow, MSK Zilina dan Riga FC,” kata Edwards.

Sebelum ini skuad Harimau Selatan menyambar bekas pemain Serie A Itali, Fernando Forestieri yang kini menjalani latihan bersama pasukan itu di bawah kendalian ketua jurulatih, Benjamin Mora.





Selain itu, seorang pemain tempatan turut disambar iaitu bekas pemain Selangor FC, Syahmi Safari bagi menguatkan barisan pertahanan pasukan itu terutama di posisi bek kanan.

Bagaimanapun, kehadiran tiga pemain Sepanyol belum pasti sama ada akan beraksi bersama skuad utama atau Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berikutan pemain berkenaan boleh bersilih ganti beraksi bersama kedua-dua pasukan berkenaan.