Kedah berdepan tugas berat saingan Piala AFC

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menyifatkan skuadnya berdepan tugas berat dalam saingan Piala AFC musim ini apabila diundi satu kumpulan dengan dua pasukan juara dari negara jiran.

Semalam, skuad Lang Merah diundi dalam Kumpulan G bersama dengan kelab Filipina yang juga juara Copa Paulino Alcantara 2021, Kaya FC dan juara Liga 1 Indonesia 2019 Bali United FC yang berada pada ranking 105 Asia.

Satu lagi pasukan membabitkan pemenang aksi playoff antara kelab dari Kemboja dan Laos.





“Saingan dalam kumpulan G untuk Piala AFC musim ini tidak semudah yang dijangka, kerana kami akan berdepan pasukan Bali United FC yang dipenuhi dengan ramai pemain antarabangsa dan sudah memiliki pengalaman di pentas AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Kaya FC dari Filipina pula adalah sebuah pasukan berpengalaman dan juga beraksi dalam saingan ACL pada musim lalu. Jadi kedua-dua pasukan yang akan Kedah hadapi pada saingan Piala AFC kali ini memang mencabar.





“Jadi kami perlu mempersiapkan pasukan agar benar-benar bersedia dan dapat menyaingi pasukan lain dalam kumpulan G ini,” katanya ketika mengulas keputusan undian Piala AFC babitkan skuad bimbingannya itu.

Penampilan Kedah pada saingan peringkat kumpulan Piala AFC musim 2020 menyaksikan juara Piala FA musim 2019 itu menewaskan kelab Hong Kong, Tai Po FC 5-1 sebelum tewas 1-4 kepada FC Seoul dari Korea Selatan pada aksi berikutnya.

Aidil berharap persiapan pasukannya untuk berdepan saingan Piala AFC pada Mei ini akan berjalan lancar sejurus memulakan kempen Liga Malaysia yang dijadualkan bermula Mac ini.