Tanyalah apa sahaja Jumaat ini – Hamidin

PUTRAJAYA: Biarpun berdepan kritikan dan desakan agar meletak jawatan ekoran kegagalan Harimau Malaya pada Piala AFF bulan lalu, Presiden Persatuan ­Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan beliau tidak pernah ‘bersembunyi’.

Kata Hamidin, beliau sedia merungkai segala kegusaran media mahupun peminat, selain menjelaskan apa juga kontroversi selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM, Jumaat ini.





Jelasnya, tindakan tidak mengeluarkan seba­rang kenya­taan ada­lah bagi menge­lak timbul salah faham, selain perlu menjalani tempoh kuarantin yang tamat semalam kerana baru pulang dari luar negara.

“Saya akan jawab hari ­Jumaat…Saya sayang bola sepak dan netizen ada pandangan mereka. Saya tahu apa yang perlu dibuat.

“Semalam (kelmarin), saya potong gelang kuarantin dan ada kenyataan yang keluar (di portal), untuk soalan anda hari ini saya akan jawab Jumaat ini,” katanya, dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, di sini semalam.





Terdahulu, kegagalan skuad Harimau Malaya mencapai sasaran beraksi di pentas final Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura bulan lalu mengundang pelbagai reaksi terutama dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

Ramai peminat berpandangan supaya barisan kepimpinan FAM melepaskan jawatan masing-masing susulan prestasi kurang memuaskan skuad Harimau Malaya dan bukan hanya kesalahan itu dipertanggungjawabkan kepada ­ke­tua jurulatih Tan Cheng Hoe sahaja.