Tak salah FAM dapat RM10 juta

Kuala Lumpur: Adakah layak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima RM10 juta daripada kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu?

Jika dilihat kepada pencapaian skuad Harimau Malaya ketika ini, sudah tentu ramai yang naik angin apabila badan induk bola sepak negara itu masih menerima ‘wang saku’ yang banyak daripada kerajaan, namun tidak setimpal dengan hasil dicapai oleh mereka.



Malah, ada yang menganggap FAM sebagai ‘anak emas’ kepada kerajaan dengan menerima peruntukan terbabit, namun dana kepada sukan lain pula dipotong pada tahun ini.

Di sebalik kritikan pedas itu, ramai yang tidak mengetahui sebenarnya FAM bukanlah persatuan sukan yang setiap tahun menerima dana daripada kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merencanakan agenda dan matlamat mereka terutama membabitkan pembangunan akar umbi.

Pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli berkata, tidak menjadi kesalahan apabila kerajaan memberi sumbangan kepada FAM dalam usaha membantu meringankan bebanan kewangan persatuan itu selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.





Beliau berkata, pihak tertentu jangan berfikiran sempit dengan meletakkan prestasi Harimau Malaya sebagai alasan FAM tidak boleh menerima dana daripada kerajaan.

“Bola sepak adalah industri sukan yang besar di negara ini dengan banyak pihak terbabit termasuklah peniaga gerai, pengangkutan, penjual barangan cenderahati dan perubatan.

“Jika bola sepak ini suram atau tidak dijaga kemungkinan ramai yang terjejas. Bola sepak juga adalah satu-satunya sukan di negara ini yang liganya beraksi lebih sembilan bulan dan membabitkan beribu ahli sukan.




“Apa yang saya tahu, FAM sebelum ini mencari duit sendiri dan tidak pernah mengharapkan dana kerajaan seperti sukan lain. Sekali sekala dapat peruntukan daripada kerajaan bukanlah satu isu besar atau pembaziran,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada Isnin lalu, FAM menerima perkhabaran gembira apabila Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan menyumbangkan RM10 juta kepada badan induk bola sepak negara itu.

Ismail Sabri menerusi ucapannya berkata, sumbangan itu mencerminkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara.