Sumareh ada masalah peribadi – Hamidin

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh bukannya besar kepala apabila didakwa enggan mewakili skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, penghujung tahun lalu.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan isu keluarga yang perlu diselesaikan sehingga menyebabkan dia tidak dapat menyertai skuad Piala Suzuki AFF 2020.



Malah, Hamidin menjelaskan pemain berusia 27 tahun itu akhirnya ‘ditinggalkan’ selepas skuad Harimau Malaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain sayap dari JDT, Arif Aiman Hanapi bagi mengisi kekosongan terbabit.

“Saya harap kenyataan ini tidak dianggap seperti mahu lepas tangan kerana ini adalah kebenarannya. Sumareh sudah bertemu Tan Cheng Hoe dan dia mengatakan dia ada masalah peribadi membabitkan keluarganya.

“Cheng Hoe maklumkan pada saya dan kami bertemu dengan Sumareh. Dalam pertemuan itu, Sumareh katakan dia perlu menandatangani sesuatu yang peribadi dengan keluarganya di Gambia.





“Dia memohon supaya boleh datang lewat sehingga ke perlawanan kedua dan saya berbincang dengan Cheng Hoe. Saya kata pada Sumareh bahawa kalau boleh, dia perlu sertai pasukan sekarang.

“Saya berbincang dengan Cheng Hoe dan dia setuju. Tetapi selepas itu Cheng Hoe katakan tidak perlu ambil Sumareh dan kita ambil Arif Aiman,” katanya.





Terdahulu, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mendapati Sumareh menolak panggilan ke skuad kebangsaan sekali gus menyebabkan Malaysia kehilangan sejumlah besar pemain utama bagi temasya itu.

Pengerusinya Datuk Dell Akhbar Khan, berkata, FAM sepatutnya menghantar 30 pemain seperti yang dibenarkan pihak penganjur namun perkara terbabit tidak berlaku sekali gus menimbulkan persoalan panel bebas itu.