IMC akan ‘londeh’ semua mengenai Perak FC

Kuala Lumpur: “Jika semuanya sudah selesai (penjualan Perak FC), kami akan ‘londehkan’ segala-galanya termasuk mendedahkan individu menyebabkan skuad The Bos Gaurus hancur.”

Itu pendedahan akan dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif IMC, Muhammad Yunus Zakariah dalam tempoh terdekat ini kepada umum bagi merungkai segala persoalan membelenggu penyokong bola sepak tempatan membabitkan pasukan Perak FC.



Beliau mengakui sememangnya IMC di ‘scam’ oleh pihak tertentu sehingga terpaksa melepaskan Perak FC kerana tidak mampu membayar gaji pemain dan barisan kejurulatihan.

Menurutnya, perkara terbabit terpaksa dibongkar bertujuan membersihkan nama IMC selain mahu pihak terbabit lebih bertanggungjawab dan tidak lagi menabur janji palsu.

“Kami bukan lagi mahu bongkar, namun akan ‘londehkan’ segala perbuatan pihak terbabit hingga menyusahkan ramai pihak sehingga pasukan Perak FC hampir hancur.

“Sekarang ini, saya tidak boleh berbuat demikian kerana mahu memberi laluan supaya urusan penjualan Perak FC berjalan lancar.





“Individu atau pihak terbabit masih ada lagi dan tanpa rasa bersalah terus ‘sibuk’ dengan Perak FC,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan penjualan Perak FC memasuki babak seterusnya apabila dikhabarkan IMC terpaksa menyerahkan kelab itu kepada JR Resources tanpa ‘proof of fund’.

Ini bermakna, jika penjualan itu diteruskan, pemain dan barisan kejurulatihan berisiko sekali lagi akan di ‘scam’ iaitu tidak mendapat bayaran gaji sekiranya pemilik baharu sebenarnya tidak mempunyai sumber kewangan kukuh.





Muhammad Yunus memaklumkan, penjualan Perak FC akan menemui noktah selewat-lewatnya dua hari lagi, sekali gus skuad the Bos Gaurus mempunyai tuan baharu kelak.

Beliau berkata, tempoh masa terlalu suntuk menyebabkan pihaknya terpaksa meneruskan penjualan Perak FC walaupun pemilik baharu itu gagal menunjukkan ‘proof of fund’.