Haaland setuju bersama Man City

LONDON: Manchester City dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland mengenai perpindahan pemain itu pada musim panas ini.

Penyerang berusia 21 tahun itu merekodkan 25 gol dari 26 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.



Dia menjadi salah seorang penyerang paling diingini dalam bola sepak dunia dan dinilai dengan harga 63 juta pound (RM348.5 juta) apabila klausa perpindahan boleh diguna pakai.

Manchester United, Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Real Madrid, Barcelona, Liverpool dan City antara kelab yang dikaitkan dengan bintang Norway itu.

Menurut laporan Daily Mail, City membuat ‘langkah penting’ dalam usaha mendapatkan Haaland selepas bersetuju dengan terma syarat gaji mingguan berjumlah 500,000 pound (RM2.7 juta) dengan ejennya.





Perjanjian itu akan menjadikan Haaland sebagai pemain yang menerima bayaran tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan perjanjian lima tahun akan dimeterai minggu depan.

Sementara itu pertahanan Barcelona, Dani Alves menegaskan bahawa dia akan memilih Kylian Mbappe dari PSG berbanding Haaland.

“Saya tidak akan berusaha untuk dapatkan Haaland. Sejujurnya saya tidak akan membelanjakan wang sebanyak itu untuknya. Untuk Mbappe, Ya… tapi bukan Haaland.




“Saya berperanan sebagai pengarah sukan, tapi saya akan cuba dapatkan Mbappe dulu kerana saya rasa dia lebih lengkap dalam setiap aspek.

“Jika anda membuat pelaburan besar, ia perlu melakukan yang terbaik, Jika perkara itu terpulang kepada saya, saya akan dapatkan Mbappe.

“Dia adalah yang terbaik untuk gaya Barcelona pada masa ini dan bola sepak. Tidak ada yang lebih baik daripada dirinya,” jelasnya Alves. – AGENSI