Mora pertahan kualiti barisan kedua JDT

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora menepis kritikan yang mempertikai tindakannya membariskan pemain tidak berkualiti sehingga menjadi mangsa belasahan 5-0 Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pengendali dari Mexico itu berkata, sukar berdepan pasukan yang berada di ranking pertama kelab Asia berbanding JDT yang berada di tangga ke-215.



Malah JDT tidak mampu untuk mempamer aksi terbaik selepas tiga hari beraksi kerana faktor keletihan pemain menjejaskan perancangan.

Menurutnya, untuk aksi menentang juara Liga 1 Jepun (Liga J1), dia mengambil tindakan drastik dengan merehatkan sekurang-kurang tujuh tonggak utama supaya mereka pulih sepenuhnya selepas mengharungi tiga perlawanan yang padat.

“Ada pemain yang diturunkan pada perlawanan itu meraih pengalaman pertama beraksi di pentas ACL. malah kami sudah berusaha untuk memberi saingan terhadap kelab gergasi Asia itu dan memang sukar untuk mengekalkan rentak permainan konsisten kerana pasukan lawan tidak memberi ruang bagi menyusun gerakan.





“Saya tidak berasa kecewa dengan kekalahan itu kerana kami sudah beri yang terbaik dan berusaha untuk memberi saingan terhadap barisan pemain Kawasaki Frontale.

“Perlu diingat, beberapa pemain JDT yang diturunkan tidak memiliki minit permainan yang mencukupi dan agak sukar untuk tampil beraksi dengan baik. Bola sepak adalah berbeza, pemain harus cepat menyesuaikan diri dan bekerjasama dalam satu pasukan,” kata Mora.

Ditanya sama ada kecederaan Mauricio Nascimento yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-20 menjejaskan perancangan taktikal, Mora mengakui perubahan terpaksa dibuat tetapi pemain gantian Aidil Zafuan Abd Radzak tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri mengemudi benteng bersama Shane Lowry.





“Apabila pemain terpaksa dikeluarkan pada awal permainan dan situasi itu tidak dijangka sudah tentu perancangan permainan sedikit terjejas. Kami harus pantas ubah suai taktikal dan Aidil Zafuan yang masuk gantikan Mauricio beraksi dengan baik malah kerap menyekat serangan berbahaya pasukan lawan.

“Kini kami akan membuat persiapan bagi mengharungi bagi dua perlawanan lagi dan kami perlu menang ke atas Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai sekiranya mahu menempatkan diri ke pusingan seterusnya,” katanya.