Tak timbul isu FAM takut JDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan badan induk itu tidak pernah mengamalkan sikap berat sebelah dengan semua pihak dilayan sama adil.

Ia termasuk isu pembakaran suar di beberapa venue aksi Liga Malaysia (Liga M) yang menyaksikan wujud dakwaan tidak berasas pihak tertentu mengaitkan FAM seolah ‘memilih bulu’ dalam isu berkenaan.



Terbaru, penyokong Terengganu FC mendakwa badan induk bola sepak tempatan itu sengaja membesarkan isu pembakaran suar di dalam Sultan Mizan Zainal Abidin ketika aksi Liga Super antara tuan rumah dan Selangor FC, Jumaat lalu.

Menurut peminat di laman sosial, FAM sudah penghantar notis yang mendakwa Terengganu FC melanggar Artikel 70, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM akibat kelakuan Ultras Tranung menyalakan suar selepas perlawanan itu.

Lantas, ramai mempersoalkan adakah tindakan sama diambil ke atas pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), di mana pembakaran suar turut berlaku di dalam Stadium Sultan Ibrahim ketika aksi antara JDT dan Terengganu FC pada 10 April lalu.

Menjawab persoalan itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan skuad Harimau Selatan sebenarnya turut dihantar notis sama dua minggu lalu, dan kes juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu akan didengar esok.





“Notis itu sebenarnya amalan biasa apabila kita mendapat laporan daripada komisioner perlawanan berhubung insiden yang berlaku ketika perlawanan.

“Jadi bila ada laporan, pihak Jawatankuasa Tatatertib akan meminta pasukan menjawab dalam tempoh 14 hari berkenaan perkara itu. Jadi ia terpakai kepada semua pasukan termasuk JDT dan terbaru Terengganu. Tak timbul isu FAM takut nak ambil tindakan atau pilih kasih, sebaliknya kita adil kepada semua pasukan.

“Tetapi kita tak pernah nak maklumkan kepada media sebab ini barulah proses awal sahaja. Keputusan akan dibuat Jawatankuasa Tatatertib yang bebas, jadi FAM tak boleh campur tangan dan kita akan umumkan bila dah ada keputusan.




“Macam itu juga dengan JDT, kita dah lama hantar notis sama tapi kita tak kecohkan. Notis Terengganu pun sama kita tak bagi tahu umum, tapi kena tengok siapa yang dedahkan surat itu. Kita kena tengok macam mana surat itu boleh diketahui penyokong.

“Jadi yang saya boleh sahkan, JDT dah jawab surat tunjuk sebab dan kesnya akan didengar esok manakala kes Terengganu pula minggu depan akan didengar,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan antaranya denda puluhan ribu ringgit atau larangan kemasukan penonton ke stadium, atau kedua-duanya sekali.