JDT bergaya ke pusingan kedua ACL

Kuala Lumpur: Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melakar sejarah tersendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu bukan saja bersejarah, malah ia dilakukan dengan cukup bergaya apabila muncul juara kumpulan selepas menghimpun 13 mata daripada enam aksi, sementara Kawasaki Frontale di tangga kedua di belakang JDT.



Begitupun, ucapan terima kasih harus diberikan kepada tonggak pertahanan Ulsan Hyundai, Park Yongwoo yang sebenarnya menghadiahkan kemenangan ke atas tuan rumah selepas dia tertampan bola ke gawang sendiri di hujung permainan.

Secara matematik untuk mara, kedua-dua pasukan wajib menang dan situasi itu menyaksikan perlawanan berlangsung rancak sejak awal.

Skuad Harimau Selatan yang dalam laluan untuk melakar sejarah mara ke pusingan 16 buat pertama kali tampak lebih bernafsu apabila hampir mendahului di minit pertama namun percubaan Bergson Da Silva sedikit tersasar.





Begitupun selang empat minit kemudian, gawang Ulsan Hyundai bergegar apabila sepakan percuma berkelas dunia yang diambil Leandro Velazquez gagal dihalang Jo Hyeonwoo.

Ketinggalan 1-0 tidak mencemaskan wakil kelab dari Korea Selatan itu apabila skuad bimbingan Hong Myung Bo hanya memerlukan seminit untuk mengikat kedudukan hasil rembatan padu Jun Amano.

Biarpun tuan rumah terpaksa mengeluarkan Natxo Insa ekoran kecederaan pada minit ke-15, bekas pemain Wolverhampton Wanderers di Liga Perdana Inggeris, Shio Hong Wan berjaya memainkan peranannya di jentera tengah.





Pada minit ke-26, JDT terpaksa mengigit jari apabila jaringan Fernando Forestieri dibatalkan pengadil kerana dikesan berada dalam kedudukan offside, meskipun ulang tayang di kaca televisyen menunjukkan sebaliknya.

Memasuki babak kedua, tempo pantas terus diperagakan kedua-dua pasukan termasuklah dua percubaan daripada Velazquez dan Bergson di minit 60 dan 77 gagal menemui sasaran.

Begitupun tuah memihak JDT apabila Park Yongwoo tertampan bola ke gawang sendiri di masa kecederaan sekaligus mencipta kejutan untuk melangkah ke pusingan berikutnya.