Tewas kepada Timur Leste bukan gambaran sebenar – Maloney

Kuala Lumpur : Kekalahan 1-2 di tangan skuad bawah 23 (B-23) tahun Timor Leste dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi bukanlah gambaran sebenar kekuatan skuad B-23 negara.

Jelas pengendali pasukan, Brad Maloney, beliau tidak panik dengan keputusan perlawanan itu yang dijadikan medan eksperimen buat menguji dan mencari persefahaman antara pemain.



“Atas kertas, keputusan itu memang mengecewakan, tetapi saya tidak melihat ia sebagai gambaran sebenar kekuatan kita kerana pasukan sedang dalam proses pembentukan.

“Timor Leste sebuah pasukan yang baik dan sudah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun ini, malah pemain mereka membuat persiapan lama.





“Kita pula masih dalam peringkat eksperimen apabila ramai lagi pemain belum melaporkan diri.

“Jadi saya memberi peluang kepada pemain yang ada untuk menunjukkan kemampuan masing-masing, sambil mencari keserasian antara pemain. Saya percaya kita akan lebih bersedia apabila saingan sebenar bermula nanti,” katanya.

Dalam aksi persahabatan itu, skuad negara ketinggalan menerusi jaringan Elias Joao Da Costa pada minit ke-51 sebelum Faiz Amer Runnizar menyamakan kedudukan 15 minit kemudian.





Memasuki minit 77, benteng negara bocor lagi apabila Jhon Frith Ornai mencetak namanya selaku penjaring, sekali gus kedudukan 1-2 itu kekal hingga wisel penamat.

Malam esok, skuad kendalian Maloney akan turun menentang skuad B-23 Filipina yang juga aksi persahabatan terakhir sebelum berangkat ke Hanoi, Vietnam bagi menyertai temasya Sukan Sea bermula Jumaat ini.